15 DIS: Caj transaksi pengeluaran di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebanyak RM1 akan dikenakan semula kepada pelanggan berkuat kuasa 1 Februari tahun depan.
Beberapa bank termasuk Maybank, Bank Islam Malaysia Bhd, CIMB Bank, RHB Bank, Citibank dan HSBC telah memuat naik notis berkenaan di platform media sosial hari ini.
Dalam makluman di media sosial, Maybank telah menyatakan bahawa mulai 1 Februari, caj transaksi pengeluaran tunai antara bank di ATM akan dilaksanakan semula.
CIMB pula memuat naik notis yang berbunyi, “Pelanggan yang dihormati, berkuat kuasa pada 1 Februari 2022, caj transaksi RM1 akan dikenakan ke atas pengeluaran wang tunai antara bank untuk transaksi yang dilakukan di ATM/mesin layan diri bukan CIMB Bank/CIMB Islamic.”
Menurut makluman Bank Islam pula, “Bagi pemegang kad Bank Islam, tiada caj dikenakan untuk pengeluaran menggunakan ATM Bank Islam.”
Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan pengecualian caj pada sistem MEPS pada 6 April 2020.
Langkah itu bagi membolehkan orang ramai mengeluarkan wang tunai daripada ATM yang berkongsi sistem MEPS semasa perintah kawalan pergerakan tanpa perlu dikenakan caj RM1.