27 JAN: Kadar vaksinasi yang tinggi membantu mengawal penularan COVID-19 varian Omicron di negara ini, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Menurutnya, gelombang Omicron sudah bermula di Malaysia dan kes jangkitan COVID-19 di negara ini dijangka meningkat.
“Sistem kesihatan sudah bersiap siaga. Kes serius semakin kurang. Sama-Sama kita mengatasi gelombang ini,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitter hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi catatan di laman Facebook memaklumkan kesiapsiagaan Kementerian Kesihatan turut meliputi pelaksanaan langkah kesihatan awam dan liputan ujian kendiri berkala.
“Diharapkan ia dapat mengurangkan keparahan kes dan kemasukan ke hospital.
“Kes akan meningkat dan kita bersama dapat mengurangkan kesan peningkatan serta keparahan jangkitan terutama kepada golongan rentan,” katanya.