NEW DELHI – Seorang ibu di India sanggup bergelut dengan seekor harimau tanpa sebarang senjata demi menyelamatkan bayinya yang diterkam haiwan buas itu.
Ketika kejadian, Archana Choudhary dari negeri Madhya Pradesh menemani anak lelaki berusia 15 bulan yang mahu membuang air kecil di luar rumah mereka.
Pegawai tempatan, Sanjeev Shrivastava, memberitahu AFP bahawa harimau yang menerkam mereka dipercayai sesat dari hutan simpanan harimau Bandhavgarh yang berhampiran.
“Wanita itu dimasukkan ke hospital dan beransur pulih. Bayi itu juga sihat,” kata Shrivastava.
Ibu mengalami kecederaan di bahagian paru-paru dan luka di perutnya manakala anak kecil mengalami luka dalam di kepala.
Akhbar The Times of India berkata, operasi mencari haiwan itu sedang dijalankan dan penduduk kampung diberi amaran untuk berada dalam rumah pada waktu malam.
Peningkatan konflik manusia-haiwan sudah banyak kali dilihat di seluruh Asia Selatan apabila semakin banyak hutan hilang akibat pengembangan bandar.
Menurut angka kerajaan, hampir 225 orang terbunuh dalam serangan harimau antara 2014 dan 2019 di India manakala data menunjukkan, lebih daripada 200 harimau dibunuh oleh pemburu haram atau mati akibat renjatan elektrik antara 2012 dan 2018.
India adalah habitat kepada kira-kira 70 peratus harimau di dunia dan jumlah harimau pada 2018 dianggarkan sekitar 2,967 ekor. – AFP