TAIPEI – Gempa bumi berukuran 6.9 magnitud melanda tenggara Taiwan menyebabkan sekurang-kurangnya tiga bangunan dan jalan raya di sebuah bandar kecil runtuh.
Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa bumi itu berlaku kira-kira 50 kilometer (km) di utara bandar Taitung di kedalaman 10km, pada jam 2.44 petang.
Kekuatan awalnya adalah 7.2 magnitud tetapi USGS kemudian menurunkannya kepada 6.9 dengan beberapa gempa susulan turut direkodkan.
Agensi Meteorologi Jepun dan Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan amaran tsunami sejurus gempa bumi, tetapi kedua-duanya kemudian berkata tiada lagi ancaman gelombang tinggi.
Rakaman video disiarkan Agensi Berita Pusat Taiwan memaparkan bangunan dua tingkat yang turut menempatkan kedai serbaneka di tingkat bawah di Yuli, Taiwan, runtuh.
Jabatan bomba Hualien berkata, empat mangsa yang terperangkap dalam bangunan itu berjaya diselamatkan, selain dua bangunan lagi turut runtuh tetapi tiada orang terperangkap manakala dua jambatan berhampiran runtuh dan dua lagi rosak.
Pentadbiran Kereta Api Taiwan (TRA) berkata sebuah kereta api tergelincir di stesen Dongli di Hualien selepas dilanggar konkrit daripada struktur yang terjejas akibat gempa bumi.
Katanya, 20 penumpang dipindahkan selain tiada kecederaan dilaporkan.
Gambar disiarkan CNA menunjukkan enam gerabak kereta api itu condong pada suatu sudut di stesen.
Gegaran turut dirasai di Taipei dan bandar barat daya Kaohsiung, dengan penduduk menyiarkan video candelier dan lukisan bergoyang di media sosial.
Presiden Taiwan Tsai Ing-wen menerusi entri di Facebook menggesa orang ramai berwaspada terhadap gegaran susulan dalam beberapa jam akan datang.
“Bekalan air dan elektrik di beberapa kawasan juga terjejas akibat gempa bumi. Kerja bantuan bencana yang berkaitan sedang giat dijalankan,” katanya. – AFP