PUTRAJAYA – Pengarah Hospital Kementerian Kesihatan (KKM) di seluruh negara bakal dinilai menerusi Sistem Penilaian 360 tahun ini.
Jadi, penilaian terhadap pegawai, bukan hanya pegawai atasan, sebaliknya juga dibuat oleh pegawai bawahannya.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu tertakluk kepada persetujuan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Beliau berkata, ketika ini Sistem Penilaian 360 hanya diguna pakai terhadap pengurusan tertinggi di kementeriannya.
Katanya, ketika ini pengarah hospital hanya dinilai oleh pegawai atasannya, namun selepas sistem penilaian itu diperluaskan kelak, mereka turut dinilai oleh rakan sejawat (peers) dan pegawai bawah kelolaan mereka.
“Kita akan menambah (perluaskan) penilaian secara 360 ini secara berkala pada peringkat lain.
“Tahun ini kita mulakan dengan pengarah hospital, mungkin tahun depan akan masukkan ketua jabatan dan pakar dan kita akan laksanakan sehinggalah semua peringkat di KKM ini ada penilaian 360,” katanya.
Khairy berkata, penilaian sedemikian juga akan membantu KKM mengesan kes buli dalam perkhidmatannya.
Pengenalan Sistem Penilaian 360 itu adalah antara penambahbaikan yang sudah, sedang dan bakal dilaksanakan KKM.
Beliau berkata, KKM juga sudah menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan bertujuan menambah baik budaya kerja serta pengurusan perkhidmatan kesihatan dan menyiasat aduan buli di Kementerian itu.