KUALA LUMPUR – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran cuaca buruk bermula bulan depan kepada rakyat negara itu di Malaysia.
Berdasarkan amaran di laman sesawang Kedutaan AS di Kuala Lumpur Selasa lalu, warga AS diingatkan untuk bersiap sedia berdepan Musim Siklon Tropika di Laut Pasifik Selatan bermula 1 November ini hingga 30 April tahun depan.
Menurut amaran itu, Malaysia berisiko dilanda hujan ribut berpanjangan dan bencana banjir sepanjang Musim Siklon Tropika yang boleh menyebabkan bekalan utiliti terputus selama beberapa hari.
“Di Malaysia, siklon tropika kebiasaannya disusuli bersama ribut hujan berterusan dan banjir di beberapa kawasan di negara ini, termasuk Kuala Lumpur.
“Hujan lebat dan ribut kilat yang teruk boleh menyebabkan gangguan elektrik dan bekalan air terputus secara meluas.
“Warga AS di Malaysia dinasihatkan untuk bersiap sedia lebih awal bagi berdepan kemungkinan gangguan utiliti kerana ia boleh berlaku selama beberapa hari,” katanya.