JOHOR BAHRU – Seorang remaja berusia 19 tahun yang menjadi ‘tauke ketum’ sejak dua bulan lalu ditahan polis di Kampung Melayu Majidee, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki itu diberkas anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS kira-kira 12.30 tengah hari.
Katanya, hasil serbuan berjaya merampas satu tong plastik yang mengandungi sebanyak 18 bungkus plastik lut sinar yang berisi cecair yang disyaki air ketum seberat sembilan liter.
“Hasil soal siasat yang dibuat, pasukan polis membuat satu lagi serbuan di Taman Istimewa dan merampas tujuh bungkusan plastik berwarna hitam yang mengandungi 201 kilogram daun ketum.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan yang dibuat dalam serbuan ini dianggarkan berjumlah RM2,190. ” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya daun ketum dibeli suspek dari pembekal dari utara tanah air dan suspek memproses dan menjual sendiri air ketum yang diproses.
“Hasil semakan rekod lampau juga mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Suspek remaja lelaki itu akan direman untuk siasatan lanjut dijalankan,” katanya.
Tambahnya, hasil ujian saringan awal air kencing suspek adalah negatif dari sebarang dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.