ALOR SETAR – Air pasang besar mengakibatkan sebanyak 37 rumah dan 19 kedai di sekitar Taman Seri Putra, Kuala Kedah dinaiki air awal pagi hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Norlizawati Ismail, berkata bacaan paras air laut iaitu tiga meter menyebabkan beberapa rumah di sepanjang Jalan Tok Pasai Kuala Kedah turut dinaiki air.
Beliau berkata, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Setar turut melakukan pemantauan di kawasan sekitar Kuala Kedah yang dinaiki air.
“Antara kawasan yang terjejas dinaiki air adalah Terminal Feri Kuala Kedah dan Pasar Kota Marina yang terkesan akibat air pasang besar itu.
“Anggota kami melakukan pemantauan pada jam 1.30 pagi hingga 3 pagi tadi sebelum air laut beransur surut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Norlizawati berkata, ketika kejadian air pasang besar berlaku, tiada hujan atau angin kencang.
Katanya, kejadian air pasang besar ini berlaku sejak Rabu lalu yang menyebabkan paras air laut 2.98 meter pada hari pertama dan hampir tiga meter pada hari kedua semalam yang turut menjejaskan kawasan sama.