KOTA BHARU: Kegiatan penyeludupan telur, khususnya dari Kelantan ke Thailand menjadi antara punca utama berlakunya kekurangan bekalan itu di negara ini.
Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa, berkata penyeludupan berkenaan berlaku disebabkan harga telur di Thailand sememangnya lebih mahal, berbanding di negara ini.
Beliau berkata, kegiatan penyeludupan yang berlaku itu mengakibatkan negara mengalami masalah kekurangan bekalan telur lebih 100,000 biji sebulan, sekali gus mengambil tempoh lama untuk memulihkan bekalan kepada jumlah yang tertentu.
“Dalam hal ini, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi merayu kepada peladang untuk menambah pengeluaran telur dan pada masa sama mengharapkan peniaga juga tidak menjual telur ke negara jiran.
“Sekali lagi saya mohon kepada mereka yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan supaya dapat memberikan kerjasama kepada jawatankuasa ini bagi menangani masalah kekurangan bekalan telur di dalam negara.
“Walaupun kita tahu ada keuntungan yang baik dan kita berharap ia dapat difahami, apabila kerajaan sudah menambah RM20 juta sebulan untuk memulihkan bekalan, tetapi impak daripada itu tidak dapat dilihat sehingga sekarang,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada penerima mangsa ribut di Kampung Tegayong, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, semakan juga mendapati punca bekalan telur dalam negara tidak dapat ditambah dengan segera disebabkan ayam telur yang tidak lagi produktif disembelih lebih awal sedangkan haiwan itu masih lagi boleh mengeluarkan telur.
“Ia sekali gus menyebabkan proses ayam gantian untuk bekalan telur menjadi lewat kerana ia mengambil tempoh selama empat bulan untuk menghasilkan telur dan jangkaan pulih mungkin pada bulan Disember ini,” katanya.