EKONOMI halal global dianggarkan mencecah AS$4.96 trilion (RM22.34 trilion) menjelang 2030, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.
Mohd Mustafa berkata, pertimbangan untuk ekonomi halal dicerminkan dalam Bajet 2023 yang dicadangkan, termasuk peruntukan bagi mempromosikan produk halal di pasaran global melalui program Perkhidmatan dan Halal Malaysia, dan inisiatif pembangunan untuk meningkatkan pematuhan dan inovasi pensijilan halal.
“Dengan memanfaatkan 46 pejabat kami di luar negara, MATRADE telah menyediakan Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) semasa edisi ke-18 Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2022) untuk menghubungkan pengeksport Malaysia dan pembeli antarabangsa melibatkan perjanjian perdagangan bernilai tinggi dimeterai.
“Acara fizikal itu dijalankan pada 6 September 2022, manakala INSP maya dilanjutkan kepada 15 November 2022 berikutan sambutan yang menggalakkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Mustafa berkata, MATRADE bersedia membantu lebih banyak perniagaan mengambil peluang yang terbuka luas yang ada di pasaran antarabangsa dan mengambil langkah untuk memanfaatkannya.
Selaku tuan rumah kepada peserta pameran daripada lebih 30 negara dan pelawat perdagangan secara fizikal dan maya, MIHAS, anjuran MATRADE, menggunakan sinerginya dengan syarikat berwajaran tinggi industri untuk menawarkan pengajaran dan tip penting untuk menggalakkan lebih banyak perusahaan Malaysia mula mengeksport, seperti Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N).
Berdasarkan pengalaman peribadi, gergasi eksport F&N menggalakkan perniagaan untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan yang berkaitan seperti Matrade dan mengambil bahagian dalam pameran seperti MIHAS, Gulf Food dan pameran perdagangan Perancis serta Salon International de I’Alimentation untuk tahap pendedahan dan promosi yang lebih tinggi bagi jenama masing-masing, kata kenyataan itu.
MATRADE berkata, F&N juga menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana untuk menetapkan visi dan sasaran yang lebih tinggi untuk memacu perusahaan mereka lebih jauh dalam pasaran eksport. -Bernama