PETALING JAYA – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menawarkan perkhidmatan rel dan bas secara percuma esok sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Prasarana dalam satu kenyataan berkata, tambang percuma ini meliputi perkhidmatan Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan yang merangkumi LRT, MRT, Monorel, BRT atau bas henti-henti.
Menurut Prasarana, inisiatif tersebut adalah sebagai langkah bagi memudahkan rakyat Malaysia keluar mengundi demi menjalankan tanggungjawab dan hak sebagai rakyat.
“Bagi pengguna My50 boleh menggunakan pas seperti biasa. Pengguna kad Touch ‘n Go pula boleh meggunakan kad tanpa sebarang caj.
“Untuk pengguna token, pengguna perlu ke mana-mana pejabat khidmat pelanggan di stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT untuk mendapatkan token khas perjalanan sehala,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut Prasarana memaklumkan, bagi perkhidmatan Rapid Bus di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kuantan (termasuk bas perantara MRT), pengguna tidak perlu menyentuh kad di mesin pengimbas apabila menaiki ataupun turun daripada bas.
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk laman-laman media sosial kami serta laman web https://myrapid.com.my.
Para pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi PULSE di Google Play dan App Store untuk maklumat terkini serta bagi merancang perjalanan.