SEREMBAN – Mahkamah Sesyen Seremban, di sini hari ini, menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan tiga sebatan terhadap seorang lelaki selepas mengaku bersalah atas pertuduhan hidup hasil daripada persundalan isterinya.
Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh membuat pengakuan berkenaan sejurus fakta kes dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati hidup sepenuhnya atau sebahagiannya daripada hasil persundalan seorang wanita berusia 35 tahun, di sebuah hotel di Kuala Pilah pada jam 1.30 tengah hari, 30 Oktober lalu.
Dengan itu, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 372A(1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan dengan sebatan dan boleh didenda, dan jika disabitkan.
Mengikut fakta kes, pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kuala Pilah menjalankan Ops Pintas dan menahan tertuduh serta menyelamatkan mangsa di sebuah hotel di Kuala Pilah, jam 1.30 tengah hari, 30 Oktober lalu.
Pemeriksaan menemui barang kes disyaki tertuduh menjadi ejen serta ‘transporter’ dalam mengurus aktiviti pemerdagangan manusia dengan tujuan eksploitasi seks ke atas mangsa sebelum menahan tertuduh.
Hasil siasatan mendapati, tertuduh memaksa mangsa dan memperdagangkan mangsa bagi tujuan eksploitasi seks sejak Julai 2022 bagi tujuan menyelesaikan bayaran hutang yang ditanggung tertuduh.
Siasatan mendapati tertuduh mengenakan bayaran sebanyak RM1,000 bagi satu jam terhadap pelanggan yang melanggan mangsa untuk tujuan eksploitasi seks.
Soal siasat mendapati tertuduh yang juga suami yang sah kepada mangsa mengaku hidup sepenuhnya atau sebahagiannya daripada hasil persundalan terhadap mangsa sejak awal Julai lalu sehingga wanita itu diselamatkan.
Dalam rayuannya, tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan paling ringan kerana perlu menanggung isteri, ibu dan keluarga isteri, selain mengaku menyesali perbuatannya itu serta mengaku sudah insaf.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Abu Hassan.