PASUKAN The Three Lions melenyapkan kritikan terhadap pasukan itu selepas membelasah Iran 6-0 dalam perlawanan sulung kempen Piala Dunia.
Jude Bellingham, 19, membuka tirai jaringan perlawanan, manakala Bukayo Saka, 21, meledak dua gol sekali gus meletakkan barisan muda England berada dalam kelas tersendiri.
Saka adalah pemain termuda England yang meledak lebih daripada satu gol dalam perlawanan Piala Dunia. manakala Bellingham menjadi pemain kedua termuda skuad itu dalam sejarah kejohanan di belakang Michael Owen.
Selain dua pemain berkenaan, Raheem Sterling, Marcus Rashford dan Jack Grealish juga meledak jaringan buat England di Stadium Antarabangsa Khalifa.
Selepas ini, England berdepan ujian lebih sukar dalam Kumpulan B menentang Amerika Syarikat (AS) dan Wales.
Dalam pada itu, tempoh 15 minit terakhir menjadi detik paling mengerikan buat Senegal apabila melepaskan dua gol untuk menghadiahkan kemenangan 2-0 buat Belanda pada aksi pertama Kumpulan A di Stadium Al Thumama, awal pagi tadi.
Selepas beberapa kali menghadirkan situasi sukar kepada benteng pertahanan Senegal, minit ke-84, Cody Gakpo akhirnya berjaya melepaskan diri untuk menyambut baik hantaran daripada Frenkie de Jong diikuti gol kedua daripada pemain gantian, Davy Klaassen pada masa kecederaan babak kedua.
Aksi kedua Kumpulan A selepas ini menyaksikan Senegal akan membuat perhitungan dengan tuan rumah, Qatar di Stadium Al Thumama, Jumaat ini diikuti pertemuan Belanda dan Ecuador di Stadium Antarabangsa Khalifa.
Sementara itu, pasukan AS terpaksa berpuas hati untuk berkongsi satu mata selepas meraih keputusan seri 1-1 pada aksi pertama peringkat Kumpulan B bertemu wakil Eropah, Wales dalam perlawanan pagi tadi.
Pada aksi di Stadium Al Rayyan itu, AS yang dikendalikan oleh Gregg Belhalter membariskan kesebelasan terbaik dengan jentera serangan dibarisi oleh Christian Pulisic dan Timothy Weah.
Dominasi penuh AS pada awal saingan akhirnya membuahkan hasil apabila Weah meledak gol hasil serangan balas pantas selepas menerima hantaran daripada Pulisic pada minit ke-36.
Gol akhirnya tiba selepas dihadiahkan sepakan penalti apabila pertahanan AS, Walker Zimmerman melakukan terjahan ke atas Gareth Bale pada minit ke-83 yang berjaya disempurkan oleh Bale sekali gus kedudukan kekal hingga tamat permainan.