PERANCIS bermula garang pada saingan Piala Dunia 2022 selepas membelasah Australia 4-1 dalam aksi Kumpulan D yang berlangsung di Stadium Al Janoub pagi tadi.
Olivier Giroud meledak dua gol manakala masing-masing satu gol jaringan Adrien Rabiot dan Kylian Mbappe memastikan skuad kendalian Didier Deschamps itu meraih tiga mata pertama manakala gol Australia dijaringkan Craig Goodwin.
Lebih manis, dua gol yang dijaringkan Giroud menyaksikan pemain AC Milan itu menyamai rekod legenda Les Bleus, Thierry Henry sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman dengan 51 gol.
Aksi ditampilkan Giroud pada perlawanan itu pastinya melegakan Deschamps selepas beliau kehilangan khidmat penyerang Real Madrid, Karim Benzema yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan.
Kehebatan Perancis diakui jurulatih Australia, Graham Arnold yang menyatakan ia pasukan yang sukar untuk ditewaskan.
“Pada akhirnya, Perancis adalah pasukan yang sangat berkualiti.
“Ada sebab mereka menjadi juara dunia sebelum ini. Saya fikir kami bermula dengan baik tetapi secara fizikal mereka jauh lebih besar, lebih pantas dan lebih kuat daripada kami hari ini.
“Secara keseluruhannya, pemain sudah melakukan segala yang mereka mampu dan itu sahaja yang boleh saya minta,” kata Arnold ketika diminta mengulas mengenai kekalahan Australia.
Sebelum itu, Denmark terpaksa berpuas hati apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Tunisia pada aksi pertama Kumpulan D di Stadium Education City.
Skuad bimbingan Kasper Hjulmand itu sepatutnya berpeluang untuk mengutip tiga mata berdasarkan 61 peratus penguasaan permainan sepanjang tempoh 90 minit tersebut.
Sebaliknya, Tunisia dilihat lebih mengancam gawang Denmark dengan beberapa percubaan terutamanya menerusi Issam Jebali yang mensia-siakan situasi satu lawan satu berdepan penjaga gol, Kasper Schmeichel.
Sementara itu, penyerang Poland, Robert Lewandowski terus gagal menjaringkan sebarang gol di peringkat Piala Dunia.
Malah, dalam perlawanan pagi tadi, dia gagal menyempurnakan sepakan penalti di babak kedua ketika pasukannya seri 0-0 menentang Mexico dalam aksi Kumpulan C di Stadium 974, Doha.
Lewandowski dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Hector Moreno 11 minit selepas babak kedua bermula dan sepaka penyerang Barcelona itu diselamatkan penjaga gol, Guillermo Ochoa.