PELAKON, Nad Zainal sedang kritikal di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Ampang Puteri dipercayai akibat jangkitan kuman dalam paru-paru dan terpaksa ditidurkan dua hari.
Perkara itu dimaklumkan oleh pelakon, Ungku Ismail Aziz dan memohon orang ramai mendoakan kesembuhan Nad.
“Nad sedang kritikal sekarang dalam ICU. Mohon doakan dia sembuh seperti sediakala,” katanya di Instagram Story, hari ini.
Sebelum itu, Ungku memberitahu pelakon berusia 32 tahun itu kurang sihat sejak Jumaat lalu dan mengalami kesukaran untuk bernafas.
Berikutan itu, Nad mengambil keputusan ke hospital pada Ahad lalu dan keadaan kembali baik selepas makan ubat yang diberikan doktor.
Bagaimanapun, Nad dikejarkan ke unit kecemasan pada malam Isnin lalu dan doktor mengesahkan paru-parunya dipenuhi darah selepas menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT Scan).
Selepas selesai membawa keluar semua darah, doktor terpaksa melakukan prosedur intubasi sekitar jam 6 petang, semalam berikutan Nad berdepan masalah pernafasan.
“Nad dimasukkan ke unit kecemasan dan bila buat CT scan, doktor sahkan paru-parunya penuh dengan darah. Mereka terus melakukan prosedur keluarkan semua darah.
“Doktor masih tidak dapat kesan punca paru-parunya berdarah, tetapi apa yang pasti bukan disebabkan ‘long COVID-19’. Harap semua orang jangan buat spekulasi tidak betul,” katanya.