ALOR SETAR – Kegembiraan empat rakan bercuti ke Langkawi bertukar tragedi apabila dua daripadanya yang juga adik-beradik ditemui lemas di Pantai Chenang, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata mangsa maut ialah R Yuvaaraj, 22, bersama abangnya, R Ravishangkar, 26, berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa bersama dua lagi rakan lelaki berumur 24 dan 25 tahun, datang ke Langkawi pada Jumaat lalu untuk bercuti.
“Mereka ke pantai kira-kira jam 7 malam untuk bermandi-manda. Kedua-dua mangsa turun mandi bersama rakan berumur 25 tahun, manakala seorang lagi tidak turun ke laut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, ketika mandi, dipercayai ombak besar menarik kesemua mangsa ke kawasan lebih dalam sehingga menyebabkan ketiga-tiga mangsa itu terkapai-kapai meminta pertolongan.
“Rakan mangsa berjaya berenang ke tepi pantai dan mendapatkan bantuan daripada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang sedang bertugas di pantai berkenaan. Bagaimanapun, dua lagi mangsa tidak berjaya menyelamatkan diri.
“Mayat mangsa berusia 22 tahun berjaya ditemui pada jam 9.35 malam, manakala mayat mangsa berumur 26 tahun pula dijumpai jam 12.40 tengah malam. Kedua-duanya disahkan meninggal dunia oleh petugas Hospital Sultanah Maliha (HSM) yang membuat pemeriksaan di lokasi,” katanya.
Shariman berkata, mayat dua beradik itu dibawa ke HSM untuk bedah siasat, dan dimaklumkan ahli keluarga mangsa juga sudah tiba di Langkawi untuk urusan selanjutnya. – Bernama