KOTA TINGGI – Hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan Kampung Muhibbah, Tanjung Serindit dinaiki air sedalam lebih 0.5 meter.
Keadaan itu menyebabkan empat sekeluarga terperangkap di rumah mereka dan berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana Cove, Noor Ikhson Syukor, berkata sepasukan lapan anggota bomba bersama satu jentera, satu pacuan empat roda dan satu bot fiber dikejarkan ke lokasi kejadian selepas panggilan kecemasam diterima.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati empat sekeluarga terperangkap dalam banjir di dalam rumah mereka.
“Mangsa membabitkan seorang lelaki warga emas berusia 82 tahun, lelaki berusia 56 tahun, wanita berusia 54 tahun dan remaja lelaki berusia 16 tahun.
“Kesemua mangsa diselamatkan dengan bot fiber dan dipindahkan ke dewan orang ramai di kampung itu selepas penilaian dibuat bersama ketua kampung berkenaan,” katanya hari ini.
Noor Ikhson berkata, operasi ditamatkan jam 8.45 pagi tadi selepas semua empat mangsa berjaya dipindahkan dengan selamat.
Hujan lebat awal pagi itu menyebabkan beberapa kawasan di Kota Tinggi mulai dinaiki air bah awal pagi ini.
Ia termasuk kawasan Tanjung Balau di Desaru dan Sungai Mas dengan dijangka pusat pemindahan sementara (PPS) akan mula dibuka di daerah itu menjelang tengah hari ini.