SINGAPURA – Singapura terus memodenkan Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) dengan pelancaran kapal selam baru, Illustrious dan Impeccable kelmarin.
Kapal selam buatan Jerman itu adalah yang kedua dan ketiga daripada empat kapal selam kelas Invincible yang direka khas untuk RSN.
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, berkata kapal selam itu akan membawa keupayaan moden dan maju kepada Angkatan Laut Singapura.
“Singapura adalah sebuah negara maritim dan RSN mempunyai misi penting untuk memastikan Talian Komunikasi Laut kami terbuka.
“Jurutera dan saintis pertahanan kami bekerjasama rapat dengan tkMS (Thyssenkrupp Marine Systems) berhubung reka bentuk dan sistem untuk memenuhi keperluan kami,” katanya di Facebooknya semalam.
Kapal selam itu juga disesuaikan bagi sekitaran operasi Singapura, terutama dalam perairan cetek dan perairan Singapura yang lebih masin yang menyebabkan lebih banyak kakisan berbanding air tawar.
Kapal selam baru Jenis 218SG yang pertama dan dinamakan Invincible dilancarkan pada awal 2019 oleh Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen dan kapal selam keempat yang dinamakan Inimitable masih dibina.
Dalam kiriman Facebook itu, Hsien Loong berkata beliau gembira berada di pelancaran dua kapal selam itu di limbungan kapal Thyssenkrupp Marine Systems (TKMS) di Kiel, sekitar 90 kilometer dari Hamburg, di utara Jerman. Turut hadir, Canselor Jerman, Olaf Scholz.