fbpx

Lelaki miliki bahan pornografi kanak-kanak ditahan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan di Klang, Selangor, kerana disyaki memiliki sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak dalam komputer miliknya.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan pada Selasa lalu oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam rumah suspek, PDRM mendapati sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak dalam komputer miliknya.

“Siasatan juga mendapati suspek turut berkomunikasi dengan mangsa kanak-kanak, selain memuat turun bahan pornografi kanak-kanak dengan menggunakan media sosial.

“Susulan itu, polis merampas komputer, cakera keras luaran, penghala (router) dan telefon bimbit milik suspek untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorsiah berkata, kejayaan tangkapan lelaki itu hasil kerjasama PDRM dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan suspek kini direman empat hari bermula kelmarin hingga Sabtu ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

“Setakat ini, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti mangsa yang terbabit dalam kes ini,” katanya. – Bernama

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles