PENYERANG Argentina, Lionel Messi menyifatkan trofi Piala Dunia yang dimenangi negara itu milik sesiapa yang tidak menang pada Piala Dunia sebelum ini.
Messi menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya menyatakan selain pemain, pasukan kejurulatihan dan penyokong turut berhak ke atas trofi istimewa itu.
“Dari Grandoli (kelab pertamanya ketika berusia empat tahun) hingga ke Piala Dunia di Qatar, hampir 30 tahun berlalu. Sudah hampir tiga dekad bola sepak memberikan saya banyak kegembiraan begitu juga beberapa kesedihan.
Saya sering mengimpikan untuk menjadi juara dunia dan saya tidak pernah berputus asa untuk mencuba, sekalipun saya sedar ia mungkin tidak berlaku,” katanya.
Tambahnya: “Trofi yang kami menang ini juga menjadi milik sesiapa yang tidak menang pada Piala Dunia sebelum ini, seperti pada 2014 di Brazil, yang mana setiap orang berhak dengan cara bagaimana mereka berjuang hingga ke penamatnya, bekerja keras dan mahukannya seperti mana saya mahukan… dan kami berhak sekalipun kalah aksi final itu.
“Ia juga milik Diego (Maradona) yang menyorak kami dari syurga. Begitu juga bagi yang selalu menyokong pasukan kebangsaan tanpa terlalu melihat kepada keputusan tetapi lebih kepada keinginan kuat yang kami sering pamerkan, walaupun sesekali ia tidak menjadi seperti yang kami mahukan.
“Dan sudah tentu, ia buat kelompok pemain ini yang dibentuk dengan mantap dan staf kejurulatihan serta semua yang terbabit dengan pasukan kebangsaan, yang tidak mahu disebut nama mereka, bekerja siang dan malam untuk memudahkan tugas kami,” luahnya.
Menurutnya: “Kegagalan sering kali menjadi sebahagian daripada perjalanan dan pembelajaran dan tanpa kekecewaan mustahil kejayaan dapat dicapai.
“Terima kasih tidak terhingga tulus ikhlas dari lubuk hati saya! Ayuh Argentina!”
Argentina berjaya mengondol trofi Piala Dunia selepas menundukkan Perancis 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti apabila saingan 120 minit di Doha berakhir 3-3.