PARIT BUNTAR – Seorang lelaki maut manakala lima lagi cedera dipercayai terbabit aktiviti lumba haram di Kilometer 187.7, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, maklumat berkaitan kejadian itu diterima pada pukul 1.50 pagi membabitkan enam buah motosikal terlibat dalam kemalangan ketika berlumba.
Katanya, siasatan awal mendapati keenam-enam motosikal itu datang dari arah Plaza Tol Alor Pongsu menghala ke Bukit Merah.
“Akibat kemalangan itu, seorang penunggang motosikal maut manakala lima rakannya berusia antara 16 hingga 26 tahun mengalami pelbagai kecederaan.
“Mangsa berusia 20 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
“Kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Taiping dan Parit Buntar untuk rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa juga dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Mohd. Khairul Hanafi Hanapi di talian 05-7210539 atau 013-6200564,” katanya.