KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil anak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Ilham dan pemandu Proton Iriz berkaitan kejadian buli jalan raya di Kilometer 307 Lebuhraya Utara Selatan yang tular baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A Anbalagan, berkata kedua-duanya akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung kejadian itu.
“Hasil penelitian terhadap rakaman video dimuat Nurul Ilham Anwar semalam mendapati kejadian dikesan berlaku di Kilometer 307 Lebuhraya Utara Selatan ketika kereta dipandunya berada di lorong sebelah kanan lebuh raya.
“Kereta Proton Iriz dilihat dipandu dengan agak perlahan dan dikatakan menekan brek beberapa kali sehingga membuat Nurul Ilham berasa bahaya dengan cara pemanduan pemilik kereta terbabit,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Mengulas lanjut, Anbalagan berkata siasatan awal juga mendapati tiada sebarang kemalangan mahupun kecederaan dialami kedua-dua belah pihak.
“Siasatan lanjut juga masih dijalankan dan kedua-dua pemandu akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
“Kes siasat mengikut Seksyen 6(2) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (LN) 166/1959 kerana kesalahan memotong dan menghalang daripada memotong,” katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut untuk tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang bagi membantu siasatan.