SAFEE Sali, 39, semalam mengumumkan persaraan daripada karier bola sepak profesional dan menitipkan pesan kepada para pemain agar berusaha memperbaiki kedudukan Malaysia dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Mengakui keputusan itu adalah tepat pada masanya kerana fizikalnya tidak lagi mampu bersaing dengan pemain masa kini.
“Keputusan ini ia dibuat untuk mengelakkan timbul beban kepada mana-mana pasukan yang saya wakili.
“Memang sedikit emosi sebab sudah hampir 20 tahun saya dalam bola sepak, semua jatuh bangun saya sudah lalui sejak mula beraksi pada usida 19 tahun. Saya sudah boleh terima hakikat perlu beralih ke episod baharu kehidupan,” katanya.
Hero Harimau Malaya ketika menjulang Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2010 itu berharap akan lebih ramai pemain negara yang beraksi bersama pasukan luar terutamanya di Eropah.
“Masa latihan percubaan dengan Cardiff City dulu (2011), jurulatih mereka mahukan saya tetapi ranking kita tidak lepas.
“Jadi, saya harap siapa pun main dengan skuad kebangsaan selepas ini, bantulah pasukan baiki ranking,” katanya.
Mengulas lanjut tentang persaraannya, Safee berkata, dia tidak ada kecederaan serius, tetapi tidak mampu bersaing secara kompetitif dengan pemain lain.
“Sekarang adalah masa terbaik untuk umum persaraan. Berat apabila rakan sepasukan mahu saya bermain dalam kesebelasan, namun saya tidak mampu dan semua itu buatkan saya tidak bermotivasi serta tertekan,” ujarnya.