Baling: Akibat menghidap iktiosis iaitu penyakit kulit bersisik pada badan dan wajah, Mohd Zahir Abdullah pernah diejek dan digelar hantu ketika di bangku sekolah.
Bagaimanapun, Mohd Zahir, 32, sudah lali dengan ejekan itu dan tidak menganggap ia menjadi pematah semangat untuknya meneruskan hidup.
Keyakinan Mohd Zahir yang menetap di Kampung Tok Saba di sini, dapat dilihat apabila berani mengetengahkan diri di aplikasi TikTok dan aktif memuat naik video menyanyi lagu nasyid di platform berkenaan.
“Saya memang minat menyanyi lagu nasyid dan rakan sebenarnya yang beri dorongan aktifkan akaun TikTok.
“Jadi, saya cuba saja dan beranikan diri buat live untuk ajak yang menonton bersembang.
“Tak sangka ramai terima baik diri saya, malah ada juga yang mendoakan walaupun belum pernah jumpa dan setakat kenal di TikTok,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menceritakan perihal dirinya, Mohd Zahir berkata, dia menghidap iktiosis sejak lahir dan dia bersama tiga lagi adik-beradiknya mengidap penyakit berkenaan.
“Saya anak bongsu daripada empat beradik dan dalam keluarga, hanya emak, ayah serta abang sulung saja tiada penyakit kulit.
“Walaupun pernah ambil ubat dan guna krim, keadaan saya masih sama kerana difahamkan memang tiada rawatan untuk penyakit saya buat masa ini,” katanya.
Meskipun ada penyakit berkenaan, Mohd Zahir mengakui tiada masalah bergaul dengan rakan mahupun individu sekeliling.
Sebaliknya, dia dapat menyesuaikan diri dan tidak dipinggirkan walaupun zahirnya berbeza berbanding orang lain.
“Jujurnya saya tak boleh terima keadaan diri pada awalnya dulu kerana keadaan fizikal yang bukan seperti orang lain.
“Murid lain pun takut nak berkawan dengan saya ketika mula masuk sekolah rendah dulu.
“Apabila masuk tahun empat, saya mula bergaul dan berkawan dengan rakan lain.
“Kawan di sekolah pun layan saya macam biasa dan itu yang membuatkan saya jadi yakin,” katanya.
Menurut Mohd Zahir, memang ada yang memandang sinis apabila dia berada di khalayak ramai.
“Selalunya budak-budak yang tengok ‘semacam’, namun ada juga orang dewasa bersikap begitu dengan segelintir bertanya apa punca penyakit saya.
“Saya terangkan saja dengan harapan mereka sedar adanya insan seperti saya dalam komuniti.
“Setakat ini, saya belum pernah lagi berdepan pengalaman dihina kerana kekurangan yang ada.
“Sebaliknya dapat banyak sokongan dan gembira kerana sering diberi kepercayaan menjadi bilal solat Tarawih di masjid pada Ramadan,” katanya yang kini melakukan kerja kampung dengan bapa angkatnya.
Mohd Zahir berkata, bukan simpati yang diharapkan cuma kefahaman masyarakat terhadap golongan sepertinya.
“Saya percaya ada individu senasib di luar sana yang ada masalah keyakinan diri disebabkan iktiosis.
“Diharap, mereka tabah dan anggap ia sebagai ujian daripada Allah SWT.
“Walaupun dilahirkan begitu, kita seharusnya positif dan anggap penyakit itu yang menjadikan kita unik berbanding orang lain,” katanya. (Sumber Harian Metro Online)