Manjung: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengambil 11 sampel di kediaman Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham di Lorong Semarak Jaya, Ayer Tawar di sini, untuk dibawa ke makmal bagi siasatan lanjut.
Pengarah JBPM Perak Sayani Saidon berkata, pihaknya sudah menjalankan proses forensik kebakaran di lokasi kejadian dengan bantuan Unit Anjing Pengesan K9 agensi itu.
Menurutnya, operasi forensik itu diketuai oleh Ketua Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM Perak Mohamed Habib Mohamed Dali.
“Pasukan penyiasatan mengambil 11 sampel di tempat kejadian untuk dibawa ke makmal bagi siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar mengambil masa kira-kira satu jam setengah untuk memadamkan kebakaran terbabit. (Sumber Harian Metro Online)