fbpx

Harimau Malaya berada di landasan tepat pada kempen Piala AFF Suzuki 2020

SATU permulaan positif.

Ini gambaran awal yang boleh disimpulkan tentang prestasi pasukan bola sepak kebangsaan pada kempen Piala AFF Suzuki 2020.

Selain merekodkan dua kemenangan berturut-turut, anak-anak buah Tan Cheng Hoe juga berjaya meledakkan tujuh gol untuk memimpin kedudukan teratas Kumpulan B.

Walaupun masih terlalu awal untuk bercakap tentang kemampuan sebenar skuad Harimau Malaya, kejayaan ini sedikit sebanyak telah menyuntik keyakinan para pemain.

Sudah pasti ia menjadi pembakar semangat untuk menghadapi baki perlawanan di peringkat kumpulan, sekali gus melayakkan diri ke pusingan separuh akhir.

Motivasi ini penting kerana Harimau Malaya akan berdepan dua pasukan hebat iaitu juara bertahan, Vietnam dan musuh tradisi, Indonesia masing-masing pada 12 serta 19 Disember ini.

Cheng Hoe juga sudah boleh menarik sedikit nafas lega selepas anak-anak buahnya berjaya menampilkan satu persembahan yang meyakinkan sepanjang dua perlawanan ini.

Percaturannya serba menjadi. Segala-galanya berjalan lancar meskipun ada suara-suara sumbang yang mengkritik keputusan beliau membuat sedikit rombakan ke atas barisan pemain utama ketika menentang Laos.

Ternyata, tindakan merehatkan pemain naturalisasi, Guilherme De Paula untuk digantikan dengan Luqman Hakim Shamsudin selalu penggempur utama Harimau Malaya merupakan satu keputusan yang tepat.

Namun, pemain yang paling menonjol ketika ini adalah Safawi Rasid yang meledakkan hatrik ketika Harimau Malaya membelasah Laos 4-0 petang semalam.

Safawi, 24, kini muncul sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan empat gol selepas menyumbat satu gol pada aksi pertama menewaskan Kemboja 3-1 pada Isnin lalu.

SAFAWI dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Disebalik prestasi memuncak Safawi itu, Cheng Hoe sudah pasti gembira dengan kecemerlangan ‘jeneral’ di bahagian tengah, Baddrol Bakhtiar.

Baddrol muncul sebagai pemain paling bertenaga untuk mendominasi bahagian tengah menerusi hantaran-hantaran yang tepat ke arah rakan-rakan sepasukan.

Pemain baharu Sabah kelahiran Kedah berusia 33 tahun itu menggunakan segala pengalaman yang dimiliki untuk memimpin rakan-rakan sepasukan menyerap tekanan yang diberikan pasukan lawan sepanjang perlawanan.

Begitu juga dengan benteng pertahanan yang diketuai pemain berpengalaman, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Bagaimanapun, Cheng Hoe perlu lebih berhati-hati untuk mengatur strategi selepas ini terutamanya setelah dua pemain negara, Akhyar Rashid dan Quentin Cheng pula didapati positif Covid-19.

Sebelum ini, penjaga gol, Khairulazhan Khalid dan pemain sayap, Faisal Halim terlepas dua aksi awal Kumpulan B berdepan Kemboja serta Laos juga positif Covid-19.

Ada tugas lebih besar menanti pengendali kelahiran Kedah berusia 53 tahun itu.

Selain mencongak formasi terbaik, Cheng Ho juga perlu bijak mengawal emosi para pemain yang ketika ini dibuai ‘mimpi indah’ setelah melakar dua kemenangan berturut-turut.

Ini kerana perlawanan selepas ini sangat penting untuk menentukan hala tuju Harimau Malaya dalam kempen kali ini.

Vietnam bukan lawan yang mudah. Memori pahit kekalahan dengan agregat 2-3 pada final Piala AFF Suzuki 1998 perlu ditebus. 

Ini misi utama Harimau Malaya selain membawa pulang trofi bola sepak berprestij di Asia Tenggara itu, sekali gus mengulangi pencapaian hebat pada edisi 2010.

Para pengkritik bola sepak negara menganggap dua kemenangan sebelum ini sebagai aksi pemanas badan manakala Vietnam adalah lawan sebenar Harimau Malaya.

Harimau Malaya akan menempah slot ke separuh akhir jika berjaya menewaskan Vietnam tetapi jika sebaliknya, skuad negara perlu menunggu sehingga ke perlawanan terakhir Kumpulan B menentang Indonesia.

Ketika ini, Indonesia serta Vietnam sudah mengumpul tiga mata tetapi kurang satu perlawanan berbanding Harimau Malaya untuk menghuni tangga kedua dan ketiga. 

Malaysia pula gah di persada Kumpulan B dengan enam mata.

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles