fbpx

Cheng Hoe perlu berani ubah formasi

SEJAK mengambil alih skuad bola sepak kebangsaan pada tahun 2017, Tan Cheng Hoe tidak pernah keluar daripada taktikal pertahanan berempat selain gemar menggunakan formasi 4-3-3 atau 4-2-3-1.

Pengendali skuad Harimau Malaya itu seakan-akan tidak berani untuk membuat perubahan taktikal ke atas skuad bimbingannya.

Ia dapat dilihat dengan jelas sepanjang tiga perlawanan pertama Kumpulan B pada kempen Piala AFF Suzuki 2020 di Singapura ketika ini.

Cheng Hoe menggunakan formasi yang sama iaitu 4-2-3-1 ketika membelasah Kemboja 3-1, Laos 4-0 dan diaibkan Vietnam dengan kekalahan 0-3.

Beliau lebih selesa menggunakan taktikal penyerang tunggal sama ada menurunkan Luqman Hakim atau Guilherme de Paula.

Safawi Rasid kekal di posisi sayap kanan manakala Arif Aiman di posisi sayap kiri. Baddrol Bakhtiar pula memimpin jentera tengah bersama Mukhairi Ajmal dan Syafiq Ahmad.

Pemain-pemain Harimau Malaya menjalani latihan menjelang aksi menentang Indonesia.

Ketiadaan Aidil Zafuan Abd Radzak dan Shahrul Saad memberi peluang kepada Dominic Tan untuk mengetuai benteng pertahanan bersama Rizal Ghazali, Syahmi Safari dan Ariff Farhan Isa.

Ternyata, formasi dan taktikal yang digunakan Cheng Hoe ketika ini sangat mudah untuk dibaca pasukan lawan.

Ia tidak sama dengan ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong.

Pengendali kelahiran Korea Selatan itu menggunakan formasi yang berbeza dalam ketiga-tiga perlawanan pertama Kumpulan B.

Tae-yong tampil dengan formasi 4-5-1 ketika menewaskan Kemboja 4-2, formasi 4-4-2 semasa membelasah Laos 5-1 dan formasi 5-4-1 apabila terikat tanpa jaringan dengan Vietnam.

Jadi, Tae-yong dijangka akan menggunakan formasi 5-4-1 ketika bertemu Malaysia pada 19 Disember ini iaitu sama seperti yang digunakan pada perlawanan menentang Vietnam.

Lima pemain pertahanan itu diketuai Asnawi Mangkualan, Rizki Ridho, Fachruddin Aryanto, Alfeandra Dewangga Santosa dan Pratama Arhan.

Rachmat Irianto dan Ricky Kambuaya masih menjadi pilihan di posisi tengah manakala Witan Sulaeman dan Irfan Jaya di posisi sayap. Pemain naturalisasi, Ezra Walian pula menjadi penggembur tunggal skuad Garuda.

Formasi ini sangat sesuai dalam usaha mengekang jentera serangan Harimau Malaya yang terdesak untuk mencari kemenangan.

Berbanding Malaysia, skuad Garuda hanya perlu mencatat keputusan seri untuk melayakkan diri ke pusingan separuh akhir.

Selepas mengharungi tiga perlawanan, Indonesia dan Vietnam memimpin dua kedudukan teratas Kumpulan B setelah masing-masing mengutip tujuh mata manakala Malaysia di tangga ketiga dengan enam mata.

Skuad bimbingan Cheng Hoe tidak ada pilihan lain selain daripada menewaskan Indonesia di Stadium Nasional Singapura pada 19 Disember ini jika berhasrat untuk mara ke pusingan seterusnya.

Persoalannya, adakah Cheng Hoe akan kekal dengan formasi sama iaitu 4-2-3-1 atau tampil formasi serta taktikal baharu.

Dalam misi memburu jaringan, Cheng Hoe mungkin boleh menggunakan formasi 4-2-2-2 dengan menggandingkan Luqman dan de Paula di posisi serangan.

Safawi masih di posisi sayap kanan dan Arif Aiman di posisi sayap kiri. Baddrol pula  memimpin jentera tengah bersama Kogileswaran Raj.

Pemain kacukan yang berpangkalan di Eropah, Dion Cools akan mengetuai benteng pertahanan tengah bersama-sama Dominic Tan, Quentin Cheng dan Syahmi Safari manakala Khairulazhan Khalid yang disahkan pulih daripada Covid-19 menggantikan tempat Khairul Fahmi Che Mat di posisi penjaga gol.

Cheng Hoe juga boleh menggunakan formasi yang lain iaitu bersesuaian dengan prestasi semasa pemain-pemain Harimau Malaya.

Apa yang penting, pengendali berusia 53 tahun itu perlu berani untuk membuat perubahan formasi dan taktikal, sekali gus mengelirukan pemain-pemain Indonesia. 

Sebagai jurulatih berpengalaman, Cheng Hoe sepatutnya memilih pendekatan untuk mempelbagaikan taktikal permainan mengikut situasi.

Contohnya, menggunakan sistem pertahanan bertiga yang boleh membentuk rangkaian lima pemain ketika bertahan dan dua pemain sayap dapat membantu ketika melancarkan serangan balas.

Apabila berdepan pasukan yang diketahui kualiti permainannya lebih baik, meletakkan lebih ramai pemain pertahanan dapat membantu pasukan negara daripada dibelasah dan diaibkan dengan kekalahan besar.

Tidak dinafikan bahawa formasi 4-3-3 atau 4-2-3-1 yang digunakan Cheng Hoe itu sudah cukup sinonim dengan Harimau Malaya.

Ia juga memberikan hasil yang positif dalam dua perlawanan pertama Kumpulan B ketika menewaskan Kemboja dan Laos.

Namun, jika pasukan negara tidak fleksibel atau terus kekal dengan formasi, sistem permainan dan taktikal yang sama, ia akan memberi keuntungan pada pasukan lawan. 

Mereka mudah untuk membaca corak permainan dan pendekatan yang digunakan Harimau Malaya.

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles