29 DIS: Mahkamah Majistret Tangkak hari ini mereman ‘Long Tiger’ atau Abdul Hamim Ab Hamid, 32, dan tiga rakan subahatnya selama empat hari sehingga 1 Januari depan.
Lelaki berketurunan Rohingya yang dikenali sebagai ‘Long Tiger’, bersama tiga individu dipercayai rakannya direman empat hari oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Perintah tahanan reman terhadap lelaki berketurunan Rohingya itu dan tiga lelaki lain masing-masing berusia 36, 38 dan 46 tahun dikeluarkan Majistret Analia Kamaruddin.
Long Tiger ditahan di Sungai Petani semalam menjadi buruan polis selepas meloloskan diri dari tahanan sejak 15 Disember lalu dibawa ke mahkamah pada jam 8 pagi dengan dikawal ketat oleh kira-kira 20 pegawai dan anggota polis.
Dia disiasat di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan manakala tiga lagi individu itu disiasat mengikut Seksyen 216 Kanun sama kerana menyembunyikan tahanan.
Tiga rakan subahatnya itu masing-masing difahamkan ditahan di Sungai Petani, Kedah serta Yong Peng dan Batu pahat di Johor menerusi operasi khas yang dijalankan pada semalam.
Sebelum ini, Long Tiger berjaya melarikan diri ketika menunggu proses perbicaraan di Mahkamah Majistret Tangkak terhadap Seksyen 388 Kanun Keseksaan yang dihadapinya.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.55 pagi itu, suspek dikesan lolos menggunakan pintu hadapan kompleks mahkamah berkenaan dalam keadaan tangan bergari.
Polis kemudian membuat beberapa tangkapan termasuk sepasang suami isteri yang disyaki rakan subahat kepada ‘Long Tiger’ yang berusia 41 dan 43 tahun di Balai Polis Bukit Gambir, kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
Selain itu, dua daripada empat anggota polis yang ditahan sebelum ini selepas dipercayai terbabit secara langsung sehingga suspek berjaya melarikan diri turut ditahan kerja.
Peguam yang mewakili suspek turut menarik diri daripada mewakili lelaki itu susulan perbuatannya meloloskan diri daripada lokap mahkamah berkenaan.
Untuk rekod, selain Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana pemerasan, tertuduh juga masih berdepan dua perbicaraan dibawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 506 kanun sama kerana mengugut dan mengurung bekas pekerjanya.