TRIPOLI – Sekurang-kurangnya lima maut manakala 50 lagi cedera dalam insiden kebakaran sebuah trak yang membawa bahan diesel di selatan Libya kelmarin, sumber perubatan dan keselamatan memberitahu Reuters.
Katanya, lima mayat ditemui terbakar sama ada di dalam atau berhampiran kenderaan, sambil menambah jumlah kematian dijangka meningkat kerana terdapat kes serius dalam kalangan yang cedera.
Tidak dapat dipastikan sama ada pemandu lori itu adalah antara mangsa.
“Lori terbabit dalam kemalangan jalan raya dan terbalik,” kata sumber keselamatan itu.
Berdasarkan gambar di internet menunjukkan sebuah lori dan beberapa kenderaan lain hangus di kedua-dua belah jalan di kawasan Ezwaiya, perbandaran Bent Bayya.
Sumber itu berkata, selepas lori itu terbalik tetapi sebelum ia terbakar beberapa orang dari kereta lain telah menghampirinya untuk mencuba mengambil minyak dari tangki lori itu.
“(Mereka) rakyat mendekatinya untuk mengisi minyak tanpa menyedari besarnya bahaya,” kata sumber itu.
“Malangnya, kebakaran berlaku di dalam lori dan mengakibatkan kemalangan jiwa,” katanya. – REUTERS