KUMPULAN muzik Denmark, Michael Learns To Rock (MLTR) yang dianggotai Jascha Ritcher, Mikkel Lentz dan Kåre Wanscher akan mengadakan Konsert MLTR Back On The Road Tour Live In Malaysia di Arena of Stars, Resorts World Genting, Genting Highlands, pada 22 Oktober depan.
MLTR membuat kemunculan sulung pada 1991 melalui album yang menggunakan nama kumpulan itu sebagai judul.
Produk sulung itu menyaksikan single The Actor ‘meledak’ dalam carta lagu antarabangsa.
Selepas itu, MLTR meraih populariti dengan rangkaian lagu seperti Take Me To Your Heart, 25 Minutes, That’s Why You Go Away dan Paint My Love.
Sepanjang pembabitan mereka, MLTR menghasilkan sembilan album dan 19 album kompilasi.
Sepanjang karier lebih tiga dekad, MLTR merangkul pelbagai anugerah emas, platinum dan multiplatinum.
Bukan itu sahaja, kumpulan berasal dari Aarhus itu mencatat jualan lebih 11 juta album di peringkat global dengan lebih enam juta lagu mereka dimuat turun secara berbayar.
Muzik MLTR masih bertahan sehingga hari ini dan terus menjadi pilihan peminat untuk distrim dan ditonton menerusi platform digital.
Sejak kemunculan band ini, MLTR memenangi pelbagai anugerah di banyak negara. Mereka juga mementaskan lebih 600 konsert di seluruh dunia.
Resorts World Genting dalam kenyataan menyatakan kali terakhir MLTR menjayakan siri jelajah Asia adalah pada 2018.
Peminat yang ingin menyaksikan MLTR ‘menghangatkan’ Genting Highlands, layari www.rwgenting.com atau my.bookmyshow.com.
Tiket berharga RM638 untuk kerusi VIP; RM588 (PS1); RM388 (PS2); RM238 (PS3) dan RM158 (PS4) ditawarkan. Semua tiket dikenakan yuran pemprosesan sebanyak RM4.