fbpx

Dua rakan rompak RM65 dipenjara 3 tahun, sebat

KUALA LUMPUR – Tindakan dua rakan merompak wang tunai RM65 dari sebuah kedai serbaneka membawa padah apabila masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid membuat keputusan itu selepas Mohd Nazir Bahli, 36, dan Ahmad Shahmi Azmi, 31, kedua-duanya penghantar makanan, mengaku bersalah terhadap tuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan. Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman bermula tarikh mereka ditangkap pada 19 Ogos lalu.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan rompak berkumpulan terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, pekerja kedai itu, dengan mengambil wang tunai RM65 milik kedai terbabit di Taman Pertama, Cheras, di sini, pada jam 9.30 malam, 18 Ogos lalu.

Di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen yang lain, Siti Aminah Ghazali, kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan merompak RM324.15 di dua kedai sekitar Cheras, antara jam 8.20 malam dan 8.30 malam pada tarikh sama.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 September untuk jatuh hukum.

Dalam kes berasingan, Izralizam Sanusi dan Hamidah Mohamed Deril, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melakukan rompak berkumpulan terhadap tiga pekerja kedai serbaneka di sekitar Cheras, antara jam 8.49 malam hingga 9.45 malam pada hari berkenaan.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan berserta syarat tambahan melapor diri sebulan sekali di balai polis berdekatan dan menetapkan 26 September serta 5 Oktober untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan bagi semua dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Azahan, Ngoh Jess Lynn dan Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwaklili peguam. – BERNAMA

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles