BIDOR – Kehilangan helikopter di hutan sekitar Bidor semalam bernoktah setelah juruterbang semalam ditemui mati di lokasi kejadian.
Perkara itu disahkanKetua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri sebentar tadi.
Sebelum itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, helikopter bersama juruterbang yang terputus hubungan selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang semalam ditemui selamat di lokasi nahas sekitar Bidor jam 8.20 pagi ini.
“Syukur, saya baru sahaja dimaklumkan oleh CAAM bahawa juruterbang helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur semalam ditemui selamat di lokasi nahas sekitar Bidor jam 8.20 pagi ini.
“Setinggi penghargaan diucapkan kepada pasukan TUDM, PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta semua yang terbabit dalam SAR ini,” katanya di Facebooknya.
Katanya, ketika ini, pasukan penyelamat sedang berusaha untuk membawa juruterbang tersebut ke Hospital Ipoh untuk rawatan.
Semalam, media melaporkan, sebuah helikopter jenis Eurocopter dan juruterbangnya dilaporkan hilang selepas terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada jam 12.16 tengah hari.
Helikopter itu milik syarikat swasta yang terbang dari LTSAAS, Subang pada jam 11.37 pagi dengan seorang juruterbang dalam pesawat itu.
Helikopter berkenaan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh pada jam 12.37 tengah hari tetapi dilaporkan hilang dan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur.