fbpx

Gaji hingga RM18,000 sebulan di Kemboja, perdaya rakyat Malaysia

PUTRAJAYA – Tawaran kerja dengan gaji lumayan mencecah antara US$2,000 sehingga US$4,000 sebulan (RM9,000-18,000), selain tidak cakna dengan berita semasa, adalah antara punca ratusan rakyat Malaysia terjerat dengan sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja.

Duta Malaysia ke Kemboja, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim, berkata tawaran berkenaan biasanya disebarkan melalui media sosial seperti Facebook, Telegram dan WhatsApp.

Beliau membahagikan mangsa kepada dua kategori, pertama yang mempunyai sijil seperti diploma, manakala yang kedua golongan muda berusia belasan tahun sehingga yang berumur 30-an tanpa kelayakan.

“Kategori pertama ini akan sampai di Kemboja lengkap dengan surat tawaran kerja seolah-olah daripada syarikat sebenar, tetapi selepas tiba mereka akan dipaksa bekerja dengan sindiket. Bagaimanapun, kategori ini sedikit sahaja bilangan mangsanya membabitkan satu dua kes.

“Kategori dua mangsanya paling ramai dan biasanya mereka ini tidak berpelajaran atau yang terdesak kerana masalah ekonomi, masalah keluarga dan sebagainya. Kita nampak trend ini meningkat selepas pandemik COVID-19 sebab ramai yang hilang pekerjaan jadi sindiket ambil kesempatan,” katanya dalam temubual bersama Bernama, di sini hari ini.

Pada Jumaat lepas, Eldeen Husaini bersama Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengiringi 24 rakyat Malaysia mangsa sindiket berkenaan, berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun, kembali ke tanah air.

PERANAN KELUARGA, RAKAN-RAKAN

Justeru, Eldeen Husaini menekankan peranan keluarga dan rakan-rakan untuk memberi kesedaran kepada mereka yang mungkin boleh terpedaya dengan tawaran kerja tidak masuk akal memandangkan kebanyakan mangsa yang ditemui kurang cakna dengan isu semasa.

“Walaupun isu ini sudah banyak dipaparkan di media, tetapi kebanyakan mereka ini tidak membaca berita dan hanya tengok media sosial sahaja, jadi keluarga dan rakan-rakan juga perlu ambil peranan,” katanya.

Eldeen Husaini berkata, biasanya pekerjaan yang ditawarkan adalah penyambut tetamu atau pegawai pemasaran di hotel-hotel yang mempunyai operasi kasino tanpa perlu melalui proses temuduga atau dokumentasi.

Mangsa akhirnya dikurung dan terpaksa bekerja untuk sindiket perjudian atas talian serta penipuan.

“Jika mangsa ada pasport, mereka akan terus terbang ke sana dan jika tiada passport, contohnya bagi yang bawah umur, mereka akan tawarkan pergi ke sana melalui jalan tikus di sempadan Thailand dan terus ke Kemboja,” katanya.

Sepanjang tahun ini, katanya, 148 mangsa dilaporkan kepada kedutaan dan 118 daripadanya berjaya diselamatkan, manakala baki 30 mangsa masih belum ditemui.

TIADA INSIDEN TEBUSAN

Mengenai beberapa video tular yang menunjukkan mangsa sindiket dipukul dan meminta tebusan kepada keluarga, Eldeen Husaini menjelaskan insiden berkenaan tidak melibatkan rakyat Malaysia.

Hasil siasatan dijalankan kedutaan dengan kerjasama pihak berkuasa Kemboja mendapati video-video berkenaan membabitkan mangsa warga Vietnam dan China.

Tambahnya, kekeliruan berhubung isu tebusan itu berpunca daripada satu kes membabitkan rakyat Malaysia yang bekerja secara sah di negara berkenaan, tetapi terpaksa membayar pampasan kepada syarikat kerana mahu pulang ke tanah air tanpa menghabiskan tempoh kontrak.

“Keluarganya di Malaysia salah faham dan menyangka syarikat itu minta wang tebusan dan membuat laporan kepada NGO. Bila kita siasat sebenarnya dia sudah tandatangan kontrak yang menyatakan kalau dia tidak habiskan tempoh, contohnya setahun, dia perlu membayar jumlah tertentu sebagai pampasan,” jelasnya.

SINDIKET SEMAKIN SUKAR BERGERAK

Berikutan liputan luas media antarabangsa berhubung isu berkenaan, Eldeen Husaini berkata sindiket semakin sukar bergerak dan dijangka dapat dibanteras tidak lama lagi.

Kerajaan Kemboja melancarkan operasi besar-besaran bagi menumpaskan sindiket itu selain bantuan disalurkan pihak berkuasa China.

“Kita juga berhubung dengan Duta Indonesia, Filipina, Thailand dan sebagainya kerana ini operasi bersama. Kadang-kadang kami pergi beramai-ramai untuk menunjukkan solidariti.

“Ini membawa kesan yang menunjukkan perkara ini penting bagi kita dan Kemboja pun menjalankan operasi besar-besaran untuk menjaga imej mereka,” katanya.

ADA MANGSA TIDAK MAHU PULANG

Eldeen Husaini menarik perhatian terhadap beberapa kes rakyat Malaysia yang dilaporkan terpedaya dengan sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja tetapi tidak mahu pulang ke tanah air selepas diselamatkan.

“Mangsa ada masalah keluarga dan lari dari rumah. Keluarga beri nama kepada kita dan apabila polis serbu semua akan ditahan berdasarkan nama yang diberikan.

“Tetapi dia tak mahu balik dan nak terus kerja di sana. Kita tak boleh buat apa-apa sebab dia ada pasport dan dokumen yang sah, jadi kita minta pihak keluarga berbincang dengan dia,” katanya.

Eldeen Husaini turut mengingatkan rakyat Malaysia yang ingin bekerja di Kemboja untuk mendaftarkan diri dengan pihak kedutaan bagi memudahkan kerja-kerja pengesanan jika berlaku perkara yang tidak diingini.

Ketika ini terdapat kira-kira 500 syarikat Malaysia dan hampir 6,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Kemboja dan mereka berada dalam keadaan baik. – BERNAMA

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles