fbpx

Selepas 53 kali kahwin, lelaki Arab temui pasangan ideal

Riyadh – Dalam usaha mencari pasangan sehati sejiwa, seorang lelaki Arab Saudi mendakwa berkahwin sebanyak 53 kali.

Menurut Gulf News, lelaki berusia 63 tahun itu mula berkahwin pada usia 20 tahun dengan wanita yang enam tahun lebih tua daripadanya.

Matlamat perkahwinan lelaki itu adalah untuk kestabilan dan ketenangan fikiran, bukannya kerana kepuasan peribadi.

Selain wanita Arab, lelaki dikenali sebagai Abu Abdullah itu turut berkahwin dengan wanita warga asing ketika menetap di luar negara.

Bahkan, perkahwinannya ada yang hanya mampu bertahan hanya semalam.

Ketika ditemu bual stesen televisyen tempatan MBC, lelaki itu berkata dia kini hanya mempunyai seorang isteri dan tidak berhasrat untuk berkahwin lagi.

Menurutnya, perkahwinan berulang kali itu berlaku ketika dia memutuskan untuk berkahwin lagi pada usia 23 tahun dan memaklumkannya perkara itu kepada isteri pertamanya.

Bagaimanapun, berlaku masalah antara isteri pertama dan kedua, menyebabkan dia berkahwin untuk kali ketiga dan keempat dan seterusnya sehingga 53 kali.

Menurut Abu Abdullah, dia kemudian menceraikan isteri pertama, kedua dan ketiganya.

Dia mendakwa, alasan berkahwin banyak kali itu adalah kerana untuk mencari isteri yang boleh membahagiakannya dan berusaha untuk berlaku adil kepada isteri-isterinya.

“Setiap lelaki di dunia ini mahukan seorang wanita dan kekal bersamanya sehingga selamanya. Kestabilan tidak boleh didapati daripada wanita muda, tetapi wanita yang lebih berusia,” katanya.

Lelaki itu berkata, kebanyakan perkahwinannya adalah dengan wanita Arab Saudi.

“Saya selalunya tinggal di luar negara untuk tempoh antara tiga dan empat bulan. Jadi, saya berkahwin untuk mengelakkan maksiat,” katanya menjelaskan perkahwinannya dengan wanita asing.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles