GAZA – Seorang petani Palestin di Gaza menemui mozek lantai Byzantine bercorak burung berwarna-warni dan beberapa haiwan lain ketika ingin menanam pokok di tanah miliknya.
Salman al-Nabahin menemui peninggalan berkenaan enam bulan lalu ketika melakukan bercucuk tanam di kebun zaitunnya di kem pelarian Bureij, kira-kira satu kilometer dari sempadan Israel.
Salman hairan beberapa pokok yang ditanamnya tidak tumbuh dengan baik telah menggali tanah berkenaan bersama anaknya sebelum menemui sesuatu yang tidak dikenali rupanya.
“Saya membuat carian di internet sebelum mengetahui ia adalah mozek milik era Byzantine.
“Saya melihatnya sebagai sesuatu yang sangat berharga, lebih mahal daripada harta… ia bukan kepunyaan peribadi namun milik setiap rakyat Palestin,” kata bapa kepada tujuh anak itu.
Sementara itu, menurut Kementerian Pelancongan dan Kepurbaan Palestin, lantai membabitkan beberapa panel mozek berkenaan menggambarkan haiwan dan ciri-ciri lain kehidupan sosial ketika era Byzantine.
“Penemuan arkeologi masih di peringkat awal dan kami menunggu untuk mengetahui lebih lanjut mengenai rahsia dan nilai ketamadunannya.
“Pasukan penyelidik kebangsaan sedang bekerjasama dengan pakar dan saintis antarabangsa dari Sekolah Arkeologi Perancis bagi tujuan itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Gaza yang kaya dengan barangan purba dan antik, pernah menjadi tempat perdagangan penting untuk tamadun sejak zaman Mesir kuno dan orang Filistin yang digambarkan dalam kitab Injil, hingga ke empayar Rom serta Perang Salib. – REUTERS