fbpx

6 sungai pada paras bahaya, waspada berlaku banjir

PUTRAJAYA – Penduduk di kawasan berisiko banjir dinasihat berwaspada selepas enam sungai mencatat air pada paras bahaya, setakat jam 2 petang tadi.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang, berkata dua stesen masing-masing di Sarawak, iaitu Stesen Marudi dan Long Teru, manakala di Selangor ialah di stesen Sungai Langat, Bukit Changgang dan Sungai Langat, Jenderam Hilir mencatatkan paras bahaya.

Katanya, turut diberikan amaran paras air tahap bahaya ialah di Negeri Sembilan iaitu stesen Sungai Linggi di Pekan Linggi dan Terengganu (Sungai Terengganu di Kampung Dura).

Selain itu, sembilan stesen pula diberikan amaran, iaitu di Kedah (Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR), Selangor (Sungai Klang di Taman Sri Muda) dan Sungai Langat di Dengkil), Negeri Sembilan (Sungai Linggi di Sua Betong).

Di Melaka, amaran dikeluarkan membabitkan Sungai Kesang di Jasin dan Sungai Melaka di Batu Hampar, manakala Johor (Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur serta Sungai Kesang di Telok Rimba) dan Sarawak (Sungai Similajau).

Mengulas mengenai ramalan cuaca di negara ini, Zaini berkata, negara berada pada fasa peralihan monsun bermula pada 3 Oktober lalu dan dijangka berterusan sehingga pertengahan November ini.

“Keadaan atmosfera tidak stabil dengan tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang boleh membawa kepada kejadian ribut petir, lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang.

“Dalam tempoh 12 hingga 18 Oktober ini, negara dipengaruhi tiupan angin baratan dan kewujudan sistem cuaca tekanan rendah di timur Filipina yang dijangka bergerak ke selatan Vietnam.

“Garis badai berpotensi berlaku pada awal pagi di perairan Selat Melaka dan pantai barat Semenanjung, Sarawak dan Sabah. Ribut petir dan hujan juga dijangka berlaku pada sebelah petang hingga ke awal pagi di Semenanjung, Sarawak dan pedalaman Sabah,” katanya hari ini.

Zaini berkata, amaran hujan berterusan peringkat waspada berkuat kuasa sehingga Jumaat ini di Sarawak (Mukah, Daro, Matu, Dalat,Bintulu, Miri, Subis, Beluru, Marudi dan Limbang).

“Selain itu ialah di beberapa daerah di Sabah iaitu Pedalaman, Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan, Pantai Barat dan Kudat), dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Sehingga jam 1.30 tengah hari ini, tiada amaran ribut petir yang berkuat kuasa. Ribut petir dan hujan dijangka berlaku di kebanyakan tempat di Semenanjung (kecuali di Pulau Pinang dan Melaka), Sarawak, Sabah (Pantai Barat, Kudat, Sandakan dan Tawau)dan Labuan pada sebelah petang.

“Di sebelah malam pula, ribut petir dan hujan di Semenanjung (Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Perak, Selangor, dan Negeri Sembilan), Sarawak (Mukah, Bintulu, Limbang, Sibu dan Miri) dan Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Kudat, Sandakan dan Tawau) dan Labuan,” katanya.

Zaini berkata, esok ribut petir dan hujan diramal di Semenanjung (kecuali di pantai timur), Sarawak (Mukah, Bintulu, Limbang dan Miri), Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Kudat, Sandakan dan Tawau) dan Labuan.

“Ribut petir dan hujan di semua negeri di Semenanjung, Sarawak, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Kudat, Sandakan dan Tawau) dan Labuan dijangka pada waktu petang.

“Pada sebelah malam diramalkan ribut petir dan hujan di Semenanjung (pantai timur, Kedah, Pulau Pinang dan Perak), Sarawak (Mukah, Bintulu, Limbang dan Miri), Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Kudat dan Sandakan) dan Labuan,” katanya.

Zaini berkata, pada Jumaat ini sebelah pagi, diramalkan ribut petir dan hujan berlaku di kebanyakan negeri di Semenanjung (kecuali pantai timur), Sarawak (Mukah, Bintulu, Limbang dan Miri), Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Kudat, Sandakan dan Tawau) dan Labuan.

“Ribut petir dan hujan di semua negeri diramalkan pada waktu petang. Hujan dan ribut petir dijangka berlaku pada waktu malam di Semenanjung (pantai timur, Perak, Johor dan Pulau Pinang), Sarawak (Mukah, Bintulu, Limbang dan Miri), Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Kudat, dan Sandakan) dan Labuan.

“Penduduk di kawasan terbabit diingatkan untuk mematuhi nasihat pasukan keselamatan dan bersiap dari masa ke masa sekiranya diarahkan untuk berpindah,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles