BINTANG veteran, Hisham Ahmad Tajudin, 76, meninggal dunia pada jam 4.30 petang tadi akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di hadapan anggota keluarga di Hospital Shah Alam (HSA).
Anaknya, Aqeela, 26, memberitahu, bapanya meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru yang kemudian merebak ke organ lain sehingga tidak berfungsi.
“Abah dikhabarkan teruk sejak malam tadi, di mana hospital hubungi saya memberitahu abah sudah tenat.
“Jadi, kami sekeluarga, berada di sisi Abah sejak malam tadi sehingga Asar.
“Abah meninggal di hadapan saya, suami saya dan ibu,” dipetik daripada BH Online.
Aqeela belum dapat berkongsi maklumat pengebumian bapanya kerana pihak hospital masih lagi menguruskan jenazah bapanya.
“Saya sedang menunggu pasukan forensik membuat laporan. Biar pihak hospital uruskan dahulu,” katanya.
Allahyarham Hisham dikenali menerusi filem Tsu-Feh Sofiah pada 1986, Perempuan (1988), Sara (20011), Selamat Pagi Cinta (2008), Santau dan Syurga Cinta (2009).
Drama popular lakonannya adalah seperti Dalam Hati Ada Cinta (2004), Dalam Hati Ada Cinta 2 (2005) dan Tok Ayah (2014).