fbpx

6 mangsa insiden helikopter dikenal pasti, selamat dibawa ke hospital

IPOH – Kesemua enam mangsa insiden helikopter di Brinchang dekat Tanah Rata, di sini selamat dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, malam tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, polis juga sudah mengenal pasti identiti semua mangsa yang terbabit dalam insiden berkenaan.

Mangsa ialah juruterbang helikopter itu, Kapten Fedzrol Norazam, 43, mengalami pendarahan dalaman manakala pegawai perubatan, Dr Munirah Abd Rahman, 35, cedera tulang belakang dan abdomen.

Pembantu Kesihatan Awam, Zainurol Fazlan Zainudin, 40, cedera di kepala; Penolong Pegawai Perubatan, Muhamad Azlan Hanifah, 31 (mengalami kecederaan di bahagian muka); Jururawat Kesihatan, Norhasikin Abu Seman, 38, (patah kaki kanan); dan Jururawat Masyarakat, Hashilawati Hussin, 43, cedera di lutut dan patah bahu kanan.

Terdahulu, Mohd Yusri berkata, mangsa terakhir dibawa keluar ialah Hashilawati, kira-kira jam 8.40 malam tadi sebelum operasi menyelamat ditamatkan jam 9 malam.

Beliau berkata, ketika ditemukan pasukan menyelamat kira-kira jam 2.40 petang semalam, kesemua mangsa berada di luar bangkai helikopter namun kecederaan dialami merencatkan pergerakan mereka.

“Anggota penyelamat tidak mengalami kesukaran untuk mengesan kedudukan mangsa dan helikopter kerana kejadian berlaku di kawasan hutan kecil,” katanya kepada pemberita, malam tadi.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin melalui kenyataan, berkata insiden helikopter itu membabitkan sebuah helikopter yang dinaiki oleh Pasukan Doktor Udara, Pejabat Kesihatn Daerah (PKD) Kinta yang membuat pendaratan kecemasan ketika dalam perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai membuat lawatan berkala ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles