fbpx

Zoo di Sydney cemas, 5 singa terlepas dari kurungan

SYDNEY – Insiden lima singa Afrika terlepas dari kurungan di Zoo Taronga, Australia, menyebabkan lokasi tarikan pelancong itu ditutup buat sementara waktu sehingga singa berjaya ditangkap.

Penggera kecemasan juga dibunyikan di seluruh zoo, manakala polis terpaksa membuat sekatan pergerakan kecemasan hari ini dikhuatiri haiwan berkenaan menyerang orang awam.

Pengarah eksekutif Zoo Taronga, Simon Duffy memaklumkan seekor singa sudah berjaya dikesan dan ditenangkan kakitangan zoo.

“Ini adalah insiden kecemasan dan semakan lanjut kini sedang dijalankan untuk mengesan punca bagaimana haiwan itu boleh terlepas dari kawasan kurungan.

“Kami tidak mempunyai butiran lanjut mengenai kejadian dan bagaimana perkara ini boleh berlaku,” katanya.

Zoo Taronga terletak di kawasan perbandaran yang mewah dengan pemandangan Sydney Opera House dan jambatan di pelabuhan.

Tinjauan juga mendapati penjaga zoo dilihat menjalankan pemeriksaan pada pagar kandang singa bagi mengesan kerosakan.

Zoo itu mempunyai dua singa dewasa bernama Maya dan Ato, selain lima anak, Khari, Luzuko, Malika, Zuri dan Ayanna.

Seekor singa Afrika jantan dewasa boleh mencecah berat sehingga 250 kilogram (kg), manakala singa betina mencapai berat sehingga 180 kg.

Sebelum ini, harimau Bengalla berusia dua tahun berjaya lolos dari kandangnya di Zoo Taronga, pada 1946.

Harimau itu kemudian berkeliaran di kawasan zoo dan kejadian berkenaan disifatkan sebagai ‘ketakutan melampau’ sebelum haiwan itu ditembak penjaga zoo. – AFP

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles