JOHOR BAHRU – Pelakon sambilan, Syazlin Zainal disahkan meninggal dunia semalam akibat terjatuh dari tingkat 22 sebuah pangsapuri, di Taman Iskandar, dekat sini.
Orang awam yang menemui mayat berkenaan pada kira-kira 12.50 tengah hari telah memaklumkan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata hasil siasatan polis mendapati wanita berkenaan adalah seorang warga tempatan berusia 26 tahun dan bekerja sebagai pelakon sambilan.
“Hasil siasatan awal mendapati, sebab kematian adalah jatuh dari tingkat 22 pangsapuri dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, siasatan awal polis tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Bagaimanapun, beliau memohon orang ramai yang melihat kejadian itu untuk tampil memberi maklumat di Balai Polis Taman Pelangi atau boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mat Nawi Ab Rahman di talian 016-5050808.
Difahamkan, proses bedah siasat masih lagi dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik HSA dan jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor, Kampung Sungai Danga, dekat sini.
Terdahulu, media melaporkan Syazlin meninggal dunia di Johor dan punca kematiannya masih dalam siasatan.
Berita sedih itu dikongsikan rakan Syazlin iaitu Zeatyalia di IG Stories miliknya pada petang semalam.
Syazlin pernah membintangi beberapa drama tempatan antaranya Sitik Tok, Dia Yang Ku Jadikan Suami, Takdir Yang Tertunda dan Ada Yang Ngikut.
Allahyarham adalah anak bongsu daripada lima beradik dan anak perempuan tunggal dalam keluarganya.