JERLUN – Kira-kira 3,000 orang hadir memberikan penghormatan kepada jenazah ulama terkenal, Allahyarham Tuan Guru Syeikh Abdul Hamid Ismail atau Pak Su Mid, 96.
Jenazah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid An-Najjah, Ayer Hitam, dekat sini, tengah hari tadi.
Turut hadir orang-orang kenamaan antaranya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz.
Terdahulu jenazah tiba di masjid itu pada jam 11 pagi dan disolatkan sebelum dikebumikan kira-kira jam 12 tengah hari.
Pak Su Mid meninggal dunia pada jam 6.30 petang semalam di sebuah pusat perubatan swasta di Alor Setar akibat sakit tua.
Allahyarham yang dilahirkan pada 1926 terkenal dengan kata-kata hikmahnya dan penuh kiasan dalam memberi nasihat.
Antara kata-kata hikmah yang ditinggalkan oleh tokoh ulama ini adalah sering mengingatkan orang ramai, termasuk keluarganya supaya tidak meninggalkan al-Quran sebagai pegangan hidup.
Paksu Mid meninggalkan seorang balu, Inche Ollah Arshat, 60-an dan tiga anak bersama 10 orang cucu.