fbpx

Thailand dilanda banjir, 3 terkorban, lebih 15,000 terjejas

BANGKOK – Hujan lebat berterusan menyebabkan 305 kampung di 33 daerah di seluruh wilayah di Thailand dilanda banjir sekali gus mengakibatkan lebih 15,000 isi rumah terjejas dan mengorbankan tiga individu.

Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) dalam satu kenyataan menyiarkan lapan wilayah itu ialah Nakhon Si Thammarat, Phatthalung, Yala, Songkhla, Narathiwat, dan Pattani di Selatan Thailand serta Amnat Charoen (timur laut) dan Chanthaburi (timur).

“Sehingga jam 4 petang (waktu tempatan) hari ini, 15, 696 isi rumah daripada 305 kampung di 33 daerah terjejas akibat banjir. Pihak berkuasa akan menyegerakan urusan membaiki kerosakan yang dialami akibat banjir,” menurut DDPM.

Komander Renjer Regimen Ke-45 Kolonel Thawirat Benjatikul, berkata tiga maut manakala dua terselamat apabila sebuah kenderaan dihanyutkan arus deras yang melanda Narathiwat.

Beliau berkata, kenderaan itu dinaiki seorang wanita warga emas berusia 68 tahun bersama keluarga iaitu anak lelakinya, 40, menantu, 38, serta dua cucunya berusia 14 dan dua tahun.

“Apabila tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu anak warga emas terbabit dihanyutkan arus deras.

“Pasukan keselamatan bergegas ke tempat kejadian dan berjaya menyelamatkan dua mangsa – lelaki dan anak lelaki berusia 14 tahun.

“Tiga lagi iaitu wanita warga emas, menantunya, dan seorang lagi cucu (dua tahun) terperangkap dalam kenderaan.

“Apabila pasukan menyelamat tiba di tempat kejadian, ketiga-tiga mangsa didapati tidak sedarkan diri. Mereka dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Gabenor Surat Thani, Wichawut Jinto mengarahkan semua bot untuk tidak turun ke laut susulan ombak tinggi.

Perkhidmatan feri turut dihentikan buat sementara waktu, katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan berterusan dan hujan lebat di beberapa kawasan terpencil di Selatan.

“Orang ramai diingatkan untuk berhati-hati dengan beberapa keadaan yang mungkin menyebabkan banjir kilat dan limpahan air, terutama di sepanjang kaki bukit berhampiran sungai dan tanah rendah,” katanya.

Jabatan Meteorologi turut mengeluarkan amaran berhubung ombak setinggi satu hingga dua meter di Teluk Thailand.

“Semua kapal harus mengambil langkah berjaga-jaga, dan bot-bot kecil diarah tidak turun ke laut,” katanya. – Bernama

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles