GUA MUSANG – Seekor beruang dewasa dikatakan ‘mengganas’ di Kampung Dakoh, Pos Balar dengan memusnahkan kubur dan memakan mayat.
Kejadian itu mencetuskan kebimbangan kepada lebih 100 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di situ.
Dalam kejadian 27 Disember tahun lalu, penduduk mendakwa beruang terbabit menggali kubur, Amek Along, 48, selain memakan sebahagian mayat wanita itu.
Suami Amek, Mazlan Aluij, 50, berkata dia menyedari kejadian kubur isterinya digali haiwan liar itu kira-kira jam 9.20 pagi pada 27 Disember lalu.
Katanya, Amek meninggal pada 1 Disember 2022 akibat strok dan dikebumikan di Perkuburan Kampung Dakoh.
“Jarak rumah dengan tanah perkuburan hanya 300 meter. Sudah jadi rutin kami melawat dan membersihkan kubur, tetapi sebelum ini tidak ada apa mencurigakan.
“Namun, pada 26 Disember lalu, saya bersama anak lelaki datang untuk membersihkan kubur seperti biasa dan melihat ada kesan tapak kaki serta najis beruang di kawasan kubur isteri.
“Keesokannya saya bersama penduduk kampung ke kubur memeriksa kawasan sekitar dan kami dapati mayat isteri sudah dimakan beruang dan haiwan liar terbabit masih berkeliaran di kawasan perkuburan. Mengikut adat kami, mayat itu tak dapat dialihkan dan hanya dibiarkan di situ,” katanya ketika ditemui.
Mazlan berkata, takut kejadian sama berulang, selain risaukan keselamatan penduduk kampung, dia membuat laporan di Balai Polis Gua Musang.
“Beruang terbabit juga dilihat berkeliaran di belakang rumah saya dan hampir menyerang anjing peliharaan. Kami juga sudah buat aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) supaya tindakan segera dapat diambil.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, menasihatkan penduduk di kawasan berkenaan agar tidak mendekati haiwan berkenaan sekiranya melihat kelibat haiwan itu.
Katanya, ia bagi menjamin keselamatan mereka kerana dikhuatiri haiwan berkenaan bertindak ganas.