fbpx

Pegawai Ukraine tuntut ilmu matikan periuk api di Kemboja

PHNOM PENH – Ukraine menghantar 15 pegawai ke Kemboja bagi menjalani latihan mengesan dan mematikan periuk api.

Latihan selama seminggu itu dianjurkan sebuah agensi kerajaan yang menyelia kerja pembersihan periuk api dan senjata yang tidak meletup iaitu di Pusat Tindakan Periuk Api Kemboja, dengan sokongan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA).

Kemboja merupakan antara negara terbaik di dunia dari segi pengalaman kerja pembersihan sisa perang sejak tiga dekad lalu.

Ketua Pengarah Pusat Penghapusan Periuk Api, Heng Ratana, berkata pegawai Ukraine yang dilatih pakar Kemboja di Institut Teknikal Periuk Api di wilayah tengah Kampong Chhnang, turut dibawa melawat tapak pelupusan periuk api di wilayah Battambang serta melawat muzium khas periuk api dan senjata.

Beliau berkata, latihan itu akan menumpukan kepada pembersihan periuk api menggunakan teknologi terkini termasuk alat pengesan Jepun yang dipanggil Sistem Pengimejan Periuk Api.

Kumpulan Human Rights Watch yang berpangkalan di New York berkata pada Jun lalu bahawa Russia menggunakan periuk api di Ukraine, ‘yang menyebabkan kematian dan penderitaan orang awam, serta mengganggu pengeluaran makanan’.

Tambahnya, Russia adalah satu-satunya pihak dalam konflik itu yang diketahui menggunakan periuk api antimanusia yang diharamkan.

Periuk api itu direka supaya boleh meletup sekiranya terdapat kehadiran individu berdekatan.

Russia dan Ukraine juga masing-masing menggunakan periuk api antikenderaan yang diletakkan di bawah, atas atau berhampiran permukaan tanah dan boleh diletupkan jika kenderaan dikesan.

Kemboja dipenuhi dengan periuk api dan senjata lain yang tidak meletup sejak perang yang berakhir pada penghujung 1990-an.

Dianggarkan empat hingga enam juta peranti masih tertanam dan berpotensi meletup serta membunuh orang awam, bagaimanapun sehingga kini lokasinya masih tidak diketahui.

Sejak berakhirnya pertempuran, hampir 20,000 orang terbunuh dan kira-kira 45,000 cedera disebabkan terkena sisa bahan letupan perang.

Pada November lalu, Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, ketika menghubungi Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berjanji menghantar pakarnya untuk membantu melatih warga Ukraine membersihkan periuk api.

Tawaran Hun Sen itu dianggap satu langkah yang luar biasa terutama kepada negara itu yang bersekutu dengan Russia dan China.

Kemboja juga mengutuk pencerobohan Moscow ke atas Ukraine dengan mengatakan ‘Kemboja sentiasa menentang mana-mana negara yang menyerang negara lain’. – AP

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles