KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menambah caruman sebanyak RM500 ke dalam simpanan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pencarum berusia 40 hingga 54 tahun yang memiliki baki simpanan kurang RM10,000.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif dalam Belanjawan 2023 itu adalah sebahagian usaha kerajaan untuk membantu mereka membina semula simpanan persaraan yang berkurangan susulan pengeluaran ketika pandemik COVID-19.
Bagi tujuan itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan memperuntukkan hampir RM1 bilion bagi meningkatkan simpanan persaraan hampir dua juta pencarum KWSP yang menghampiri usia persaraan.
“Setelah negara dibelenggu musibah pandemik COVID-19, rakyat terpaksa beberapa kali mengorbankan simpanan hari tua mereka bagi menampung keperluan hidup ketika pandemik.
“Kini setelah rakyat beransur-ansur bangkit untuk membina semula kehidupan, kebanyakan rakyat menggunakan pendapatan yang diterima bagi menyara kehidupan, sementara simpanan hari tua masih rendah.
“Kerajaan beriltizam membantu rakyat membina semula simpanan persaraan mereka bagi memastikan simpanan yang ada kelak mencukupi untuk membiayai hari persaraan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.