fbpx

Dua beradik yatim piatu tinggal di pondok kecil usang

Dua beradik yatim piatu tinggal di rumah usang sejak lima tahun dulu

KUALA KRAI: Dua beradik yatim piatu dari Kampung Slow Pok Long, Dabong, di sini, menjadikan pondok kecil serta usang sebagai tempat untuk mereka berteduh daripada hujan dan panas sejak lebih lima tahun lalu.

Mohamad Azwan Abdullah, 16, dan adiknya, Nur Asyikin Hadi, 15, terpaksa tinggal dalam keadaan serba kekurangan selepas ibu bapa mereka meninggal dunia dan kini hanya menumpang kasih datuk serta nenek yang sudah tua.

Mohamad Azwan berkata, arwah ayah tirinya, Hadi Roni meninggal dunia pada tahun 2014 selepas terbabit dalam kemalangan dan tidak beberapa lama selepas itu, arwah ibunya, Rusni Yusof, pula meninggal dunia akibat menderita penyakit buah pinggang.

“Selepas ibu dan ayah tiri meninggal dunia, saya mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga untuk menjaga adik-adik, namun disebabkan kesempitan hidup, adik bongsu, Mohd Aliff, 12, kini dijaga oleh keluarga sebelah arwah ayah.

“Sejak dari itu, hidup kami dipenuhi ujian, tetapi sebagai abang dan ketua keluarga, saya mengajar adik perempuan supaya lebih berfikiran matang.

“Nenek dan datuk berasal dari Thailand, menjaga kami dua beradik sejak kematian ibu serta ayah. Mereka turut mencari rezeki di sini sebagai penoreh getah.

“Walau bagaimanapun, nenek dan datuk tinggal di pondok yang berada di dalam ladang getah tempat mereka bekerja dan hanya keluar menjenguk kami di sini dua atau tiga kali seminggu. Ia bergantung keadaan kerana jarak antara kami adalah sejauh 10 kilometer,” katanya ketika ditemui di Kampung Slow Pok Long, Dabong.

Terdahulu, keluarga berkenaan menerima kunjungan badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili pengerusinya, Che Norhayati Mohamed.

Katanya, bagi meneruskan kelangsungan hidup, dia mengambil upah menoreh getah dengan pendapatan RM50 seminggu yang hanya cukup untuk belanja makan mereka dua beradik.

“Kebiasaannya nasi kosong yang digaul bersama mi segera serta kuahnya menjadi hidangan wajib untuk saya dan adik setiap kali kami mengalas perut,” katanya.

Mohamad Azwan berkata, bagi mendapatkan bekalan elektrik, pondok usang didiami mereka dua beradik terpaksa disambung dengan rumah berhampiran.

“Keperluan air juga bergantung kepada air tadahan dari bukit yang digunakan untuk memasak, mandi dan membasuh pakaian setiap hari,” katanya.

Katanya, kesempitan hidup juga menyebabkan dia dan adik perempuannya terpaksa melupakan alam persekolahan.

“Bagaimanapun, baru-baru ini ada individu prihatin sanggup menanggung yuran serta perbelanjaan persekolahan dan saya berharap ia dapat mengubah nasib kami dua beradik ke arah lebih baik,” katanya.– (Sumber Berita Harian Online)

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles