fbpx

Konsert Aku Faizal berlangsung dengan jayanya

“Cepat keluar, Superman!”

DEMIKIAN jeritan dari kerusi penonton beberapa minit sebelum panggung konsert perdana Faizal Tahir dibuka. ‘Superman, penyanyi rock, genius’ adalah antara panggilan yang pernah dikalungkan kepada pemilik nama penuh Ahmad Faizal Muhammad Tahir ini.

Faizal ,44, tahu mengapa panggilan ‘Superman’ itu lahir. 17 tahun usianya bergelar anak seni terlalu banyak yang boleh diimbau. Tidak hanya sekadar gelaran yang diberikan kerana penyanyi itu merupakan duta jenama DC Comic Super Heroes Malaysia waktu itu. 

Namun ia juga sebagai penghargaan untuk energi luar biasa Faizal atas panggung, gimik luar kotak di setiap persembahan dan juga kenakalannya bergelar bintang rock. Muncul sahaja di pentas, seisi dewan akan bergema. Pendek kata, Faizal adalah sosok ‘Superman’ selebriti Malaysia.

Faizal Tahir dalam satu ketika konsert Aku Faizal Tahir

“Saya kena akui, memang awal-awal bergelar anak seni adakalanya saya hanyut. Waktu itu saya muda dan ramai peminat. Ketika itu saya macamlah bagus sangat. Kononnya yang paling rockstar. 

“Bila sudah makin mendewasa, saya faham yang kita perlu ada rasa rendah diri. Saya masih di sini hari ini pun kerana sokongan dan juga kritikan yang saya terima.

“Bila lihat kerjaya saya semula. Betul, saya pernah buat kesilapan, pernah kena ‘gam’ buat benda yang salah. Saya belajar daripada semua pengalaman itu dan bersyukur kerana saya diberikan sistem sokongan yang kuat,” katanya kepada Hits.

Pernah ingin berundur

Rezeki bergelar naib juara musim pertama rancangan One in a Million adalah pemula segala populariti dan kesempatan untuk Faizal Tahir mempertajamkan bakatnya. 

Faizal Tahir bersama Siti Nurhaliza dan Alif Satar yang turut bersama-sama menyumbang suara

Bermula dari menyanyikan lagu ciptaan orang, Faizal kemudian berevolusi sebagai seorang penulis lirik, komposer sehinggalah penerbit rakaman di bawah label Faithful Music. Graf kemajuan karier di dekad terawalnya luar biasa sekali. Sehinggalah pada tahun 2018, lelaki itu memberi bayangan untuk mengundurkan diri.

“Secara jujur, saya memang mempunyai konflik dalaman tentang dunia seni. Sekejap rasa nak bersara, kemudian tidak.

“Sebenarnya, perasaan untuk bersara itu terbit kerana keluarga. Ditambah pula ketika itu saya kehilangan sahabat terdekat. 

“Namun isteri saya menjadi antara individu yang kuat memberikan saya sokongan. Dia kata, selagi mana nyanyian saya boleh beri kebaikan kepada orang lain, saya tidak patut halang,” jelasnya. 

Kemunculan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan sahabatnya Alif Satar ke konsert Aku Faizal Tahir Live in Kuala Lumpur pada Sabtu  juga turut menguatkan semangat jejaka kelahiran Kuala Lumpur untuk terus berada di dalam industri hiburan.

Faizal Tahir turut melahirkan hasrat untuk mengadakan konsert secara percuma

Ingin buat konsert percuma

Ditanya apakah impian yang belum tertunai sepanjang bergelar anak seni, penyanyi itu tersenyum. 

Walaupun sempat hangat di media sosial membincangkan harga tiket untuk konsert pertamanya yang didakwa sedikit mahal, Faizal sebenarnya mengimpikan untuk mengadakan sebuah konsert percuma khas buat peminat.

“Saya ada impian sebelum bersara nak beri satu konsert percuma. Saya tahu tidak mudah tapi kalau niat baik Insya-Allah semua akan dipermudah.  “Tapi takut juga kalau jalan jem atau ada orang merusuh pula. Banyak benda perlu dipertimbangkan. Jadi atau tidak impian itu, saya serahkan kepada takdir tapi niat itu sudah ada,” tambahnya. (Sumber Utusan Malaysia Online)

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles