fbpx

“Tadi Kata Nak Mekap Simple Je.” MUA Sentap, Terus Pack Alat Solek Tanpa Siapkan Tudung Pelanggan

Memberi peluang kepada jurusolek (MUA) newbie, kadangkala memberi risiko kepada pelanggan. Ini kerana ada MUA newbie namun mempunyai skill bagus. Manakala ramai juga yang masih perlu banyak belajar.

Pun begitu, komunikasi antara MUA dengan pelanggan perlulah lebih efektif supaya masing-masing memperoleh manfaatnya. 

Kosmopolitan berkongsi kisah seorang Usahawan Industri Fesyen dan Gaya Hidup, Marlena Abdullah. Tindakannya memberi peluang kepada seorang MUA yang baru berjinak-jinak dalam dunia solekan telah memberikan pengalaman kurang enak buatnya. Apatah lagi apabila MUA itu bertindak mengemas segala peralatan mekap lantas berlalu pergi tanpa menyiapkan penggayaan tudung sebagaimana yang telah dijanjikan.

“Saya boleh mekap tetapi sekadar mekap untuk diri sendiri bolehlah. Suka kelihatan cantik. Sejak kecil memang gemar menata rias diri dari mekap sehinggalah pakaian yang dikenakan termasuk kasut, beg tangan, aksesori dan wangian. Saya belajar cara mekap dengan beberapa MUA sejak enam tahun lepas.

Untuk hadir majlis perkahwinan kenalan, saya mengupah MUA kerana ingin tampil berbeza dari segi solekan. MUA itu saya kenal daripada kenalan. Saya tahu dia newbie dan ada melihat beberapa gambar khidmat solek dia. Nampak cantik dalam gambar,” kata Marlena memulakan bicara.

HASIL TIDAK MEMUASKAN

Hasil solekan MUA newbie yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada Marlena.

Selepas 1 jam 15 minit dimekap oleh MUA newbie itu, Marlena tidak berpuas hati kerana hasilnya tiada beza dengan hasil mekap sendiri. Dia mahu kelainan apabila menggunakan perkhidmatan MUA. Beza hanya nampak pada bulu mata (6D eyelashes). Bentuk wajahnya pun kelihatan semakin membulat kerana tiada teknik contouring seperti diminta. Kening tidak rapi dan warna lipstik tidak menyerlah.

“Saya bukan bersikap cerewet atau suka kompelin kerana skill mekap adalah kelebihan masing-masing tetapi kalau ada yang kurang memuaskan, saya akan tegur untuk kepuasan saya. Biasanya MUA yang bekerjasama dengan saya, terima teguran saya secara positif. Inilah dikatakan komunikasi dua hala tetapi kebiasaannya saya relakan hasil MUA. Saya hargai dan hormati hasil karya pada wajah saya,” cerita Marlena lagi.

Menurut Marlena, sebelum mekap, dia telah menunjukkan pakaian yang bakal disarungkan pada majlis malam itu supaya mekap sesuai dengan warna pakaian. 

“Setelah mekap, saya tegur bahawa kening tak nampak dan minta untuk highlight sedikit. Dia mula buat muka katanya “Tadi puan kata nak simple jer.” Bagi saya, kalau simple sekalipun, perlu juga nampak warna kening. Kening tenggelam mungkin disebabkan foundation yang ditepek. 

Saya mohon untuk tukar warna lipstik kerana ini adalah acara malam. Saya nak sedikit merah atau glossy. Muka MUA tadi mula berubah dan muncung. Saya tegur sebab nak wajah kelihatan ceria malangnya dia tambah warna yang sama. Masa ni tak sempat intai dalam beg dia ada berapa batang lipstick sahaja,” kata Marlena.

Akhirnya, MUA tadi terasa hati dan mula mengemas barang mekapnya. Manakala Marlena pula terus pergi ke cermin tingkap untuk ambil nafas kerana mood dia sendiri pun mula berubah.

“Melihat keadaan MUA itu, saya siapkan sendiri sahaja tudung walau sepatutnya tudung pun dia perlu pakaikan,” tambah Marlena yang turut menegaskan MUA tidak patut berlalu pergi sebelum kerja selesai.

Melalui pengalaman ini, Marlena dengan tegas mengatakan bahawa dia takkan beri peluang lagi kepada MUA newbie. Dikhuatiri terjadi lagi kerana ia membabitkan emosi dan penampilannya sebagai seseorang yang mempunyai personaliti yang ceria.

“Bukan diskriminasi newbies tapi saya juga perlu menjaga penampilan apabila berdepan orang ramai kerana saya nak yang terbaik bukan diri saya sahaja malah orang sekeliling. Apapun saya puji penampilan MUA yang mekap saya tempoh hari. First impression memang bagus. Ada beg mekap rona hitam, penampilan dia pun cantik dan meyakinkan sebagai seorang MUA. Sebelum mekap, dia cuci tangan dan menyediakan peralatan di atas meja dengan teratur (berus, peralatan, tisu, beauty blender ada tiga jenis, puff untuk pipi dan wajah dan mulakan dengan Bismillah,” kata Marlena lagi yang akhirnya menata rias kembali wajah sendiri supaya lebih puas hati.

Hasil tata rias menambah baik solekan yang dibuat oleh MUA newbie.

Sebagai usahawan dana industri fesyen, Marlena turut memberikan tip kepada MUA newbie supaya kekal berdaya saing dalam industri ini. Antaranya:

1) Untuk MUA newbie, jangan cepat emosi apabila menerima teguran kerana teguran itu boleh membina kewibawaan setiap MUA dalam industri.

2) Attitude atau sikap perlu dijaga kerana sebagai MUA, sangatlah penting terutamanya apabila berdepan dengan pelanggan yang mungkin gugup contohnya pengantin atau penceramah. MUA antara orang yang menentukan penampilan pelanggan. Ada masa MUA perlu jadi perunding untuk tenangkan gugup pelanggan.

3) Bersikap profesional walaupun sebagai MUA adakalanya kita nervous untuk menata rias seseorang terutamanya VIP. Tenang dan jangan melenting jika ditegur.

4) Penampilan diri perlu dijaga terutamanya bau badan, bau mulut, kebersihan tangan dan alatan seperti berus. Jangan lupa MUA juga perlu ceria.

5) Paling penting, jangan tamak. Job sana sini hendak diambil. Kelam-kabut mekap pelanggan bagai melepaskan batok di tangga. Pastikan dapat rehat dan minum air secukupnya.

Akhir kata, Marlena turut menasihatkan supaya MUA newbie memperkaya kemahiran berkomunikasi dengan pelanggan. Teguran adalah untuk meningkatkan skill. 

Marlena seorang periang dan ceria melalui kehidupannya sehari-hari.

“Bagi saya upah RM150 adalah agak mahal untuk level newbie. Saya beri peluang kepada dia kerana dia memerlukan pengalaman untuk mekap beberapa jenis wajah mengikut event. Peluang diberikan atas belas kasihan dan kepercayaan seorang yang baru nak melangkah ke industri kecantikan. Janganlah baru tegur sikit, dah sentap. Bahasa saya gunakan juga teratur ketika menegur sebab tak nak dia kecil hati. Seperti mana kita tahu, cara komunikasi dengan generasi kini adalah berbeza dengan zaman kita. Malangnya dia rasakan dia saja yang betul dan tidak mahu menerima komen daripada pelanggan,” tambah Marlena mengakhiri bicara.

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles