fbpx

Kerajaan komited tidak akan sisihkan komuniti pekak – Fahmi

KUALA LUMPUR – Lebih 700 orang dari kalangan golongan pekak memeriahkan sambutan Karnival Sukan Wanita Pekak Kebangsaan 2023 yang berlangsung di Kompleks Sukan Bangsa di sini baru-baru ini.

Bukan setakat penyertaan dalam acara bola jaring, futsal, badminton dan orienteering, malah karnival itu turut diceriakan dengan pertandingan mewarna bagi kalangan anak-anak dari keluarga orang pekak.

Sebahagian daripada komuniti orang pekak yang memeriahkan Karnival Sukan Wanita Pekak Kebangsaan 2023 di Kuala Lumpur.

Di samping itu, karnival berkenaan turut memberi ruang dan peluang kepada para peniaga kecil orang pekak termasuk yang mengendalikan ‘food truck’ untuk memperkenalkan jualan mereka dengan tawaran harga murah.

Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil ketika merasmikan karnival itu berkata, ia merupakan program yang bukan sahaja berjaya menghimpunkan golongan orang pekak wanita, malah ahli-ahli keluarga mereka juga. 

Menurutnya, karnival seperti itu bukan sahaja membuktikan bahawa wanita pekak juga memiliki bakat dalam sukan, malah dapat mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang sukan.

Sementara itu, pada sidang akhbar kemudiannya, Ahmad  Fahmi memberi jaminan bahawa beliau akan membantu Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf)  mendapatkan dana bagi meneruskan aktiviti persatuan itu.

“Yang terbaharu, MSDeaf akan menganjurkan Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) yang setaraf dengan Sukan Malaysia (SUKMA) pada 1 hingga  8 Disember depan.

“SOPMA 2023 ini sesuatu yang amat membanggakan kerana semua negeri akan terlibat menghantar kontinjen masing-masing.

“Saya akan cuba membantu MSDeaf. Saya akan panjangkan perkara ini termasuk keperluan MSDeaf mendapatkan dana kepada menteri berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden MSDeaf, Ong Shin Ruenn berkata, karnival itu merupakan acara tahunan yang melibatkan wanita pekak.

Menurutnya, karnival seperti itu  juga berjaya menghimpunkan ahli-ahli keluarga pekak dari seluruh negara.

“Selain itu, inilah masanya untuk peniaga-peniaga kecil  dari kalangan orang pekak untuk menambah pendapatan mereka.

“Selepas kami berjaya menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Pekak Dunia kali ke-4 dengan Malaysia sebagai tuan rumah pada September dan Oktober baru-baru in, kini MSDeaf sudah bersedia dengan SOPMA 2023 pula pada awal Disember nanti,” katanya.

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles