11 DIS : Gadis orang kelainan upaya (OKU) yang dilaporkan hilang di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kelmarin ditemui di Stesen KL Sentral pagi tadi.
Kakaknya, Roslidiwati Borhanudin, 33, berkata, mereka mendapat panggilan daripada seorang kakitangan Stesen Sentral Kuala Lumpur yang memaklumkan menemui adiknya, Johani Borhanudin, 26, atau Ani yang sedang merayau seorang diri di kawasan terbabit pada pukul 11.05 pagi.
Katanya, berdasarkan gambar yang diberikan, mereka pasti itu Johani dan meminta kami datang segera.
“Ketika ditemui, Ani masih memakai pakaian yang sama ketika hari dia hilang (baju blaus berbintik dan seluar biru) namun dia berada dalam keadaan letih dan matanya juga sayu.
“Kami tengok kakinya bengkak kerana terlalu lama berjalan,” katanya hari ini.
Ani dilaporkan hilang ketika sedang membuang sampah sewaktu sedang menunggu ibunya berurusan di kaunter ubat selepas mendapatkan rawatan susulan di HKL pagi kelmarin.
Dia yang merupakan pemegang kad OKU mental merupakan pesakit Sistemik lupus eritematosus (SLE) atau lupus.
Mengulas lanjut, Wati memberitahu, sejak berita mengenai Ani tersebar di Facebook, dia menerima maklumat mengatakan Ani ada singgah di kafe Starbucks di dalam Putra Mall dan meminta air minuman mangga.
Ujarnya, pekerja di kafe terbabit memberikannya secara percuma sebelum dia dilihat beredar tanpa arah tujuan.
“Pihak keselamatan di Stesen Keretapi Putra ada memberitahu melihat Ani datang ke stesen ini pada pukul 4 pagi untuk menaiki kereta api pada hari pertama dia dilaporkan hilang.
“Selepas memaklumkan tiada perkhidmatan pada waktu itu, Ani beredar dan mereka tidak perasan Ani seorang OKU kerana dia nampak normal dan memakai pelitup muka,” ujarnya.
Mereka sekeluarga akan membawa Ani ke HKL bagi mendapatkan rawatan sebelum menutup laporan orang hilang yang dibuat di balai polis.
“Kami bersyukur dia ditemui dalam keadaan selamat dan sangat berterima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu dalam misi mencari Ani sejak hari pertama dia dilaporkan hilang,” ujarnya.